EMIL (kiri) dan Wan Mohd Saifullah bertugas sebagai Jurutera Bendalir Litar Petronas (PTFE).
EMIL (kiri) dan Wan Mohd Saifullah bertugas sebagai Jurutera Bendalir Litar Petronas (PTFE).
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menganalisis bahan api dan minyak pelincir dalam masa singkat untuk digunakan kereta lumba pasukan Formula Satu (F1) Mercedes-AMG Petronas supaya enjinnya berada pada prestasi optimum antara cabaran utama sebagai Jurutera Bendalir Litar Petronas (PTFE).

Itu tugas digalas dua rakyat Malaysia, Wan Mohd Saifullah Wan Saudi dan Emil Johan Bernsten sepanjang tahun ini apabila mereka berada di 24 perlumbaan F1 di seluruh dunia bermula di Bahrain pada 2 Mac depan.

Wan Mohd Saifullah, 36, dilantik sebagai PTFE pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas sejak Mei tahun lalu, manakala Emil, 26, memulakan kerjaya itu pada Mei 2022.

Berkongsi karier itu kepada media baru-baru ini, Wan Mohd Saifullah berkata, dia dan Emil secara umum ditugaskan melakukan sokongan teknikal dan analisis kimia terhadap 150 sampel bahan api serta minyak pelincir digunakan kereta lumba F1 Mercedes-AMG Petronas sebelum dan selepas setiap perlumbaan.

Katanya, analisis itu penting supaya ia mematuhi peraturan ditetapkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), selain memastikan keputusannya tepat yang dapat menyumbang kepada prestasi enjin kereta lumba F1 pada tahap optimum sekali gus mengurangkan kadar kesilapan pada setiap sesi latihan, kelayakan dan hari perlumbaan.

"Sebagai contoh, semasa kereta lumba F1 memanaskan enjin sebelum digunakan di litar, saya mengambil (analisis) sampel minyak pelincir digunakan dan daripada itu saya dapat tahu berapa kandungan logam tertentu di dalamnya.

"Jika keputusan analisis lambat dan mendapati ada kerosakan, pasukan jurutera lain tidak dapat menukar ganti barang rosak itu dengan masa yang cukup, dan ia menjejaskan kereta lumba F1 dalam keadaan terbaik pada hari perlumbaan," katanya.

Wan Mohd Saifullah berkata, setiap kali perlumbaan dia perlu menjalankan analisis utama membabitkan bahan api Petronas Primax, minyak pelincir Petronas Syntium, minyak pelincir transmisi Petronas Tutela dan minyak hidraulik Petronas Tutela.

Selain itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Kelantan itu turut menganalisis serta mengurus minyak pelincir dan bahan api bagi pasukan F1 lain yang menggunakan enjin Mercedes seperti pasukan F1 McLaren, Aston Martin dan Williams.

"Walaupun perlu sediakan keputusan analisis dengan cepat dan tepat, dengan disiplin berpasukan dan perancangan teliti, apa jua cabaran ditempuhi dapat ditangani sekali gus menghasilkan keputusan positif kepada pasukan," katanya.

Sementara itu, Emil menyifatkan berada dan bekerjasama dalam pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas adalah sesuatu yang menakjubkan dan ia peluang yang hanya datang sekali seumur hidup.

"Sememangnya peluang ini seronok untuk saya bekerja dalam dunia kereta lumba F1. Saya bukan sahaja belajar secara teknikal melalui pengalaman di litar, tetapi juga teruja menjadi sebahagian dan melihat bagaimana budaya pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas beroperasi.

"Mereka sentiasa bersama berusaha untuk cemerlang dalam setiap perkara dilakukan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International (PLI), Hezlinn Idris berkata, Petronas menjalankan kerjasama teknikal dengan F1 Mercedes-AMG sejak 2010 dan berjaya menggondol lapan kejuaraan berturut-turut bagi kategori pengeluar.

Katanya, sebelum Wan Mohd Saifullah dan Emil, tiga rakyat Malaysia membabitkan diri dengan pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas bermula dengan Ahmad Nasri Shafie pada 2018, En De Liow (2020) dan Dr Safwan Hanis (2022).

"Program pembangunan bakat Petronas membawa manfaat sebenar kepada dunia automotif yang membolehkan PTFE memperoleh pengalaman tidak ternilai melalui pendedahan mereka kepada dunia F1 yang berkembang pesat dan pantas.

"PTFE mengendalikan makmal kompak untuk aktiviti berkaitan bendalir pada perlumbaan di seluruh dunia bersama jurutera dan saintis terbaik dalam bidang itu, dan daripada pengalaman itu kami menghasilkan produk berkualiti tinggi untuk kegunaan pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 8:00 AM