SEORANG warga Rohingya  menunggang motosikal roda tiga ketika mencari besi buruk di sekitar Melor, Ketereh.
SEORANG warga Rohingya menunggang motosikal roda tiga ketika mencari besi buruk di sekitar Melor, Ketereh.
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Ada madrasah, kedai makan selain tanah perkuburan 'khas' untuk mengebumikan ahli keluarga dan rakan senegara.

Kemudahan itu dikesan terdapat di kawasan terpencil Mukim Melor, Ketereh, di sini yang tidak ubah seperti kawasan 'baharu' untuk penempatan etnik Rohingya.

Kebanjiran ribuan etnik pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu di beberapa kampung yang asalnya 'berkongsi' dengan penduduk tempatan, kini seolah sudah didominasi.

Tinjauan wartawan ke Kampung Melor Lama, Kampung Kubang Tin dan Kampung Padang Kala mendapati semua penempatan itu mempunyai kelompok penempatan etnik Rohingnya.

Kumpulan itu turut mempunyai 'port' lepak serta kedai kopi yang hanya akan dikunjungi 'orang' mereka, selain madrasah untuk kanak-kanak belajar dan solat berjemaah, diimamkan kaum sendiri.

Mereka juga akan menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran bersama penduduk tempatan dengan wartawan sempat menyaksikan beberapa warga Rohingya menaiki kenderaan dan motosikal ke Masjid Mukim Haji Hussin Melor Lama.

Seorang warga Rohingya, Mohd Yusoff, 50, ketika ditemui memberitahu sudah tujuh tahun menetap di situ dan mencari besi buruk untuk menanggung isteri dan empat anak.

Bahkan, dia mengaku menggunakan motosikal roda tiga untuk melakukan kegiatan itu secara 'sorok' bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, upah diterima antara RM40 sehingga RM60 sehari, cukup untuk menampung kehidupan seharian kerana anak-anaknya bersekolah di madrasah yang diajar guru Rohingya.

"Janganlah cari kesalahan saya, saya tidak kacau penduduk kampung dan hanya mencari rezeki halal," katanya yang memberitahu dia hanya menumpang teduh di negara orang dan sekadar mahu menjaga keluarganya.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dilontarkan penduduk tempatan yang bimbang kebanjiran etnik Rohingya membawa implikasi buruk terutama soal keselamatan.

Rohayu Ismail, 47, berkata, berdasarkan pemerhatian di kejiranannya, golongan itu datang sebagai suami isteri dan tinggal dalam tempoh lama hingga membina keturunan di situ.

"Selain itu, ada pasangan yang melangsungkan perkahwinan di sini dan mereka memberitahu tok kadi adalah warga Rohingnya sendiri.

"Mereka turut menjemput penduduk kampung ke kenduri, selain mengupah orang tempatan untuk memasak.

"Apabila ditanya bagaimana masuk ke negara ini, semua jawab datang secara sah kerana memiliki kad UNHCR," katanya.

Penduduk mahu dikenali Baharom, 58, pula mendakwa etnik Rohingnya itu sudah wujud di Melor sejak lebih 10 tahun lalu yang bermula dengan jumlah tidak kurang lima orang.

"Kami tidak sangka kini mereka semakin bertambah sehingga mungkin mencecah ribuan dalam tempoh masa yang singkat. Jika situasi ini berterusan, ada kemungkinan untuk kawasan ini 'dijajah' Rohingya.

"Tambahan pula, mereka turut menimbulkan kekacauan sehingga ada berlaku beberapa kes jenayah termasuk pergaduhan...ada yang berani melawan penduduk tempatan.

ANTARA warga Rohingnya yang berkmpul di sebuah kedai kopi di Melor, Ketereh.
ANTARA warga Rohingnya yang berkmpul di sebuah kedai kopi di Melor, Ketereh.

"Apabila jumlah ramai, mereka jadi besar kepala dan risikonya kepada keselamatan penduduk tempatan," katanya dari Kampung Melor Lama.

Baharom turut mendakwa petak sawah di hujung kampungnya dijadikan penempatan Rohingya dengan ada warga itu yang dikatakan menjalankan aktiviti haram seperti berjudi, sabung ayam dan karaoke.

Sementara ituMohamad Zailan Wahab, 24, berkata, dia pernah melihat warga Rohingya memandu kenderaan seperti pacuan empat roda di atas jalan raya dan melanggar peraturan.

Dakwanya, ada penduduk kampung yang pernah menjadi mangsa langgar lari pemandu Rohingya dan masih terlantar akibat kecederaan dialami.

"Besar harapan kami sebagai penduduk agar pihak berkuasa mempergiatkan lagi operasi dalam kalangan kumpulan etnik itu sebelum masalah makin parah," katanya.

Mengenai tanah perkuburan khas di kawasan tersorok di Kampung Machang Bubok, Melor, penduduk dikenali Ali, 58, memberitahu tapak itu sudah tidak lagi dijadikan kawasan bagi etnik Rohingya selepas teguran penduduk.

Katanya, sebelum ini penduduk mungkin tidak tahu mengenai urusan pengebumian jenazah etnik itu.

"Kawasan ini dahulu adalah tanah perkuburan lama orang kampung yang kemudian digunakan oleh warga Rohingya.

"Ada lebih 20 pusara yang mana jenazah bukan sahaja dalam kalangan warga Rohingya setempat, malah dari luar Kelantan seperti Pahang, Johor dan Kuala Lumpur," katanya.

'Orang di sini semuanya baik-baik'

"Orang di sini semuanya baik-baik," kata Imam madrasah Rohingya dikenali Ustaz Abdullah yang menyifatkan Kelantan antara negeri paling selamat untuk diduduki golongan sepertinya.

Disebabkan faktor itu, dia lebih selesa menetap lama di perkampungan yang banyak dihuni etnik senegaranya dan turut mengajar agama buat kanak-kanak.

"Ia berbeza ketika tinggal di Butterworth, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Saya tiada rancangan pulang kerana negara saya tidak selamat, saya mungkin dibunuh.

"Saya mengajar agama anak-anak Rohingya selain menjadi imam solat fardu. Untuk Solat Jumaat kami ke masjid lain bersama penduduk kampung.

"Dahulu memang ada tempat kami mengerjakan solat Jumaat 'orang-orang' kami sahaja, tetapi sekarang tiada lagi," katanya ketika ditemui di madrasah Rohingya di Kampung Melor Lama, Ketereh di sini.

Menurutnya, komuniti mereka saling membantu kerana ada warganya yang dikategorikan 'kaya' selepas menjalankan pelbagai perniagaan dan sentiasa menghulurkan bantuan kewangan dan makanan.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 8:39 AM