ANGGOTA polis forensik memeriksa kenderaan suspek. FOTO Hazreen Mohamad
ANGGOTA polis forensik memeriksa kenderaan suspek. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang: Aksi tembak menembak antara polis dengan penjenayah di Persiaran Prima Utama 3, Puchong Permai, di sini, semalam, digambarkan seperti melihat adegan filem.

Seorang penduduk lelaki di kawasan itu yang enggan dikenali berusia 30-an memaklumkan dia melihat beberapa kenderaan mengejar kereta dipercayai dinaiki suspek di lokasi berkenaan kira-kira 4 petang, semalam.

"Beberapa minit kemudian, berlaku adegan tembak menembak selepas polis berjaya mengepung dan menahan kereta suspek.

"Saya nampak lelaki (suspek) dalam kereta itu yang melepaskan tembakan terlebih dahulu.

"Dalam masa beberapa minit juga, pihak polis dilihat berjaya mengawal situasi di lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, seorang wanita berusia 60-an yang juga penduduk di kawasan berkenaan berkata, pada mulanya dia tidak menyangka berlaku kejadian berbalas tembakan di lokasi terbabit.

"Saya terdengar satu letupan dan menyangka ia mercun dimainkan oleh anak-anak di kawasan ini ketika bermain di luar rumah.

"Namun, saya lihat anggota polis berpakaian biasa meniarap di jalan raya sambil melepaskan tembakan ke arah kereta terbabit.

"Kejadian tembak menembak yang berlaku itu macam dalam perang, sangat menakutkan," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian itu mempunyai 13 rekod jenayah termasuk enam kes dadah dan satu rekod dikehendaki polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 3:11 PM