TANGKAP layar video tular mengenai kejadian tembakan di KLIA.
TANGKAP layar video tular mengenai kejadian tembakan di KLIA.
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam didapati mempunyai satu rekod dikehendaki polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semakan mendapati suspek berusia 38 tahun itu dikehendaki atas kesalahan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta menyamar penjawat awam.

Menurutnya, kesalahan berkenaan dilaporkan di Muar, Johor, baru-baru ini.

"Semakan mendapati suspek juga mempunyai dua rekod lampau berkait kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah, masing-masing kes dilaporkan pada 2016 dan 2023.

"Dalam kes ugutan jenayah yang dilaporkan terhadap suspek pada 2023, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (sengaja menyebabkan cedera)," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, katanya usaha memburu suspek dikenali sebagai Hafizul Hawari masih diteruskan dan pihak polis percaya lelaki terbabit masih berada dalam negara.

"Kita (polis) yakin dia masih di negara ini, usaha kesan suspek giat dilakukan.

"Saya percaya dengan kecekapan pegawai dan anggota saya, dia (suspek) akan ditahan dalam masa terdekat.. insya-Allah," katanya.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, suspek melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya, namun satu das tembakan tersasar, dan satu das lagi tembakan terkena seorang pengawal peribadi wanita terbabit.

Suspek dipercayai menembak isterinya menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci bersama dua pengawal peribadi.

Pengawal peribadi berusia 38 tahun yang terkena tembakan pada bahagian perut kini dirawat di Hospital Cyberjaya.

Operasi memburu suspek digerakkan sejurus kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Untuk rekod, suspek dan isteri dilaporkan ada mengusahakan agensi pelancongan dan umrah yang beroperasi di Selangor.

Malah, suspek pernah ditangkap pada Februari lalu atas laporan polis dibuat isterinya berkait kesalahan ugutan jenayah pada Disember 2023.

Selain itu, isterinya juga pernah membuat laporan polis berhubung kesalahan sama terhadap suspek pada 2016.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu dalam proses perceraian dan motif kejadian dikatakan berkaitan perihal peribadi mereka.

TERKINI: Hafizul dah ditahan polis

Kereta digunakan suspek kes tembak bukan didaftar atas namanya

Imigresen perketat pintu sempadan, mungkin Hafizul guna pasport palsu

Polis nafi Hafizul berada di Makkah

Polis kumpul maklumat daripada ahli keluarga, kenalan Hafizul

'Saya percaya Hafizul akan ditangkap dalam masa terdekat' - KPN

'Along' tidak sepatutnya bekerja semalam - Rakan

[TERKINI] Suspek miliki pistol secara haram

Kes tembak KLIA: Peguam nasihat tak keluar kenyataan - Farah Cie

Polis pantau sempadan elak suspek kes tembak di KLIA lolos

Isteri pengawal peribadi tak sangka suami ditembak pada bulan Syawal

Pengawal peribadi ditembak terpaksa ditidurkan

Suspek miliki 3 rekod jenayah lampau

'Saudara Hafizul... serah diri dengan aman'

Kejadian tembak di KLIA bersifat peribadi - Polis

'Doakan pengawal peribadi saya'

1 cedera terkena tembakan di KLIA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 3:43 PM