Alias Abd Rani


Muar: Bakal pengantin lelaki terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan kerana gagal menjelaskan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan memecah tabung surau di Bukit Mor, Parit Jawa, dekat sini, minggu lalu.

Tertuduh, Nordin Ahmad Maat, 50, yang sepatutnya menamatkan zaman bujang bulan depan terpaksa dihantar ke penjara selepas pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Dia yang bekerja kebun didakwa menceroboh surau dengan niat melakukan jenayah dengan kejadian itu berlaku pada jam 11.31 malam, 9 November lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh berseorangan dilaporkan memasuki dalam surau terbabit untuk mencuri duit tabung.

Perbuatan tertuduh berjaya dikesan salah seorang kariah surau selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit.

Pengadu kemudian memanggil rakannya lalu ke surau terbabit dan melihat sebuah motosikal di parkir di hadapannya.

Tertuduh yang menyedari kehadiran pengadu kemudian bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar belakang surau terbabit.

Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut.

Semakan mendapati tertuduh mempunyai empat rekod lampau pada 2019, iaitu dua rekod bagi Seksyen 411 manakala Seksyen 448 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan, masing-masing satu kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Norain Sakina Zakri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tertuduh disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh sabitan iaitu hari ini serta denda RM2,000.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 3:14 PM
Bakal pengantin terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan selepas dipenjara enam bulan kerana gagal bayar pecah tabung surau. FOTO Alias Abd Rani
Bakal pengantin terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan selepas dipenjara enam bulan kerana gagal bayar pecah tabung surau. FOTO Alias Abd Rani