Mohd Sabran Md Sani


ENAM individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, terhadap pertuduhan merusuh dalam kejadian di surau Austin Perdana, Jalan Austin Perdana pada 5 Mei lalu.

Tertuduh, Toh Chai Eun, 29, Nor Hadzman Hashim, 45, Norfriandika Kusuma Irfandi, 22, Robert Anak Bajak, 36, Hazlan Masahat, 55, dan Muhamad Akhmarul Amir, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Salina Omar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh termasuk pengadu, bersama-sama dalam satu kumpulan dengan tujuan bersama mendatangkan kecederaan dan melaksanakan tujuan bersama dalam perhimpunan dan kekerasan.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 17 Julai ini.

Isu berkenaan mendapat perhatian apabila video berdurasi lebih seminit tersebar menunjukkan seorang lelaki memandu laju berhampiran Surau Austin Perdana sebelum ditahan dan dipukul akibat membunyikan hon ketika jemaah menunaikan solat Jumaat.

Berikutan itu, polis menahan empat lelaki di hadapan Surau Austin Perdana bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 3:37 PM