GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat penerbangan tambang rendah ditahan polis hari ini, selepas disyaki terbabit kes pengubahan wang haram.

Lelaki bergelar datuk berusia 57 tahun itu ditahan bersama isteri berusia 55 tahun dan anak lelaki berusia 26 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ketiga-tiga mereka ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

"Tangkapan dilakukan kira-kira 5.30 petang di Shah Alam, Selangor," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Difahamkan, JSJK akan mendapatkan perintah reman terhadap ketiga-tiga individu terbabit pagi esok.

Terdahulu, tular di media sosial pendedahan mengenai kegiatan ahli perniagaan yang dikatakan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan menjadikan syarikat penerbangan untuk 'mencuci duit'.

Pendedahan itu juga mendakwa suspek yang mempunyai beberapa syarikat lain turut terbabit dalam aktiviti penipuan.

Suspek dikatakan pernah dikenakan tindakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), selain disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 11:57 PM