RAKAMAN muzik video Be Mine diadakan di Taiwan.
RAKAMAN muzik video Be Mine diadakan di Taiwan.
Najiy Jefri


PENYANYI, Ayda Jebat menghadiahkan buah tangan baharu berjudul Be Mine yang sepatutnya dilancarkan pada majlis resepsi perkahwinannya bersama pengacara Nabil Mahir pada 1 Januari 2021.

Siapa sangka penantian hampir dua tahun itu akhirnya berjaya direalisasikan, sekali gus menjadi detik paling membahagiakan buat penyanyi berusia 31 tahun ini untuk berkongsi keterujaan dan kisah penuh romantis dalam lagu itu.

Be Mine adalah ciptaan Aubrey Suwito manakala liriknya ditulis sendiri oleh Ayda.

Lagu ini sudah menjalani proses rakaman tiga tahun lalu dan Ayda percaya ini adalah waktu terbaik untuk diperkenalkan kepada peminat.

"Be Mine adalah sambungan daripada lagu Mana Ada Hati dan Better Than You. Lagu ini sudah dirakamkan tiga tahun lalu.

"Sebenarnya lagu ini ada banyak kenangan indah. Antaranya saya dapat bekerjasama dengan komposer dan pengarah muzik hebat seperti Aubrey. Saya akui sentuhan Aubrey mempunyai magis yang luar biasa. Rasa bertuah dapat berkongsi idea dan mempelajari ilmu baharu.

"Lagu Be Mine ini sepatutnya menjadi lagu perkahwinan serta dilancarkan pada 1 Januari 2021 iaitu tarikh pernikahan saya dan Nabil, tapi memandangkan ketika itu Covid-19, kami tak dapat nak buat majlis resepsi hingga pelancaran lagu ini pun terpaksa ditangguhkan.

"Alhamdulillah saya tak sangka selepas dua tahun lagu ini dapat diperdengarkan kepada orang ramai. Saya harap lagu Be Mine ini membangkitkan perasaan cinta dan sayang, sekali gus menjadi lagu wajib bagi setiap pasangan yang berkahwin," katanya.

Menariknya mengenai lagu Be Mine, Ayda turut melancarkan muzik video Be Mine yang turut mendedahkan jantina anak keduanya kepada umum.

Mendapat sentuhan hebat daripada sutradara Rewan Ishak, muzik video Be Mine turut menjalani penggambaran di Taiwan selepas mendapat kerjasama dengan Salam Taiwan dan Eva Air.

"Pengakhiran muzik video lagu ini akan mendedahkan jantina anak kedua saya. Sebenarnya saya dan Nabil tak tahu jantina anak kedua kami. Hanya seorang individu yang tahu iaitu Rewan kerana kami beri sampul yang mengandungi maklumat jantina anak kedua kami.

"Jadi, ketika proses penggambaran dijalankan, Rewan membuat dua versi kejutan sama ada bayi kedua ini lelaki atau perempuan. Proses suntingan pun dia buat seorang diri. Saya dan Nabil memang nak momen ini menjadi satu kejutan ketika majlis pelancaran muzik video pada 23 September lalu," katanya.

Dalam pada itu, Ayda yang sebak dan terkejut apabila dimaklumkan bakal menerima cahaya mata lelaki pada majlis pelancaran muzik video itu berkata, dia akan sekali lagi memilih untuk bersalin secara pembedahan (czer), Disember depan.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana sudah melalui pengalaman serupa yang disifatkan cukup indah selain sudah mendapat persetujuan Nabil.

"Saya masih memilih bersalin secara pembedahan kerana menerusi pengalaman pertama dulu, saya dapat suatu momen yang membahagiakan.

"Daripada segi ada yang cakap sejurus bersalin pembedahan, kita akan rasa sakit dan susah untuk jaga. Bagi saya ia tidak betul berdasarkan pengalaman sendiri.

"Mungkin lain orang lain kesannya dan masing-masing boleh memberikan pendapat. Alhamdulillah pengalaman dan momen untuk saya dipermudahkan-Nya.

"Malah, selepas bersalinkan anak pertama, ada kawan Nabil yang bertanya pendapat dan kami hanya berkongsi apa yang dirasakan baik," katanya.

Tambahnya, dia berharap proses bersalin dipermudahkan memandangkan dia bakal bersalin daripada tarikh jangkaan.

"Kami sudah pun memilih tarikh untuk bersalin. Sepatutnya bayi dijangka lahir pada 1 Januari tahun depan dan berkongsi dengan ulang tahun perkahwinan kami.

"Namun kena pilih tarikh lain memandangkan saya akan dibedah. Jadi, Insya-Allah saya akan bersalin pada Disember. Mudah-mudahan prosesnya akan berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 6:00 AM