RAKAMAN video memaparkan seorang lelaki dipercayai diupah along Singapura membakar pekarangan rumah Chong pada 11 dan 15 September lalu.
RAKAMAN video memaparkan seorang lelaki dipercayai diupah along Singapura membakar pekarangan rumah Chong pada 11 dan 15 September lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang wanita kini hidup dalam ketakutan apabila 'dihantui' gangguan daripada ceti haram atau along dari Singapura yang sudah dua kali membakar pekarangan rumahnya di Karak, Pahang pada 11 dan 15 September lalu.

Along berkenaan juga mengugut 'mengambil' dua anaknya masing-masing berusia empat dan lima tahun sekiranya enggan membayar sejumlah wang dikehendaki mereka.

Menurut wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 28, mimpi ngeri itu bermula apabila dia dihubungi individu mendakwa sebagai along dari Singapura pada 7 September lalu memaklumkan suaminya, Kwan, 29, meminjam wang dengan mereka.

"Saya terus menghubungi suami yang bekerja sebagai cef di Singapura sejak dua tahun lalu bagi mendapatkan kepastian mengenai hal itu.

"Suami memaklumkan dia ada menekan pautan syarikat pinjaman di media sosial untuk meminjam wang 10,000 dolar Singapura (SGD) pada Mei lalu namun membatalkan permohonan itu.

"Namun, along itu tidak berpuas hati dan mahu suami membayar 2,000 SGD (RM6,800) bagi membatalkan permohonan itu," katanya ketika ditemui ketika hadir di Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA di Wisma MCA di sini, baru-baru ini.

Chong berkata, sindiket itu juga mendakwa kononnya sudah memasukkan wang 300 SGD (RM1,020) ke dalam akaun bank suami namun tiada wang yang masuk ke dalam akaun berkenaan.

"Suami ada membuat bayaran sebanyak 200 SGD (RM680) ke dalam akaun seperti diarahkan along berkenaan, namun dia meminta lebih lagi. Selepas membakar pekarangan rumah, along itu meminta wang 3,000 SGD (RM1,020) kononnya sebagai kos membayar individu diupah bagi membakar rumah kami," katanya.

Beliau berkata, hidupnya kini dalam ketakutan sehingga dia berhenti kerja sebagai kerani apabila dua kejadian kebakaran itu berlaku dalam selang beberapa hari sahaja.

"Bukan saya sahaja yang dihubungi oleh along itu, tetapi ibu mentua dan adik ipar perempuan saya juga diganggu. Mereka menghubungi kami menggunakan pelbagai nombor telefon termasuk dari Singapura. Situasi ini menyebabkan kami sekeluarga hidup dalam ketakutan sehingga saya tidak berani hantar anak-anak ke sekolah kerana bimbang keselamatan mereka selepas diugut dua anak akan diambil oleh along," katanya yang membuat tiga laporan polis.

Menurutnya, suaminya juga ada membuat laporan polis di Singapura dan sudah berhenti kerja kerana mahu kembali ke tanah air untuk bersama ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 6:30 AM