WARGA emas yang terbiar dalam keadaan terlantar sejak lebih dua minggu lalu di Pasar Wakaf Che Yeh di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WARGA emas yang terbiar dalam keadaan terlantar sejak lebih dua minggu lalu di Pasar Wakaf Che Yeh di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Menyayat hati apabila melihat lelaki warga emas terbiar dalam keadaan terlantar sejak lebih dua minggu lalu di Pasar Wakaf Che Yeh di sini.

Lebih memilukan warga emas berusia lingkungan 60-an itu hanya terbaring di sebuah tilam yang dipenuhi dengan najis.

Peniaga Pasar Wakaf Che Yeh, Hasawadi Ramli, 45, berkata, warga emas berkenaan dipercayai ditinggalkan oleh individu tidak dikenali sejak lebih dua minggu lalu.

Katanya, turut ditinggalkan ialah sebuah tilam nipis yang menjadi tempat tidur warga emas itu dan lelaki itu hanya mampu terlantar.

"Akibat ditinggal lama, tilam berkenaan dipenuhi dengan najis memandangkan lelaki itu tidak boleh bergerak.

"Saya dan peniaga lain hanya mampu memberikan makanan kepadanya dan tidak boleh berbuat apa-apa kerana tidak mengenalinya. Sebab lama ditinggalkan, tilamnya penuh dengan najis.

"Perkara ini membuatkan pembeli pasar ini tidak selesa kerana bau kurang menyenangkan. Cuti sekolah juga sudah bermula jadi kunjungan orang ramai ke pasar ini akan bertambah berbanding sebelum ini," katanya yang berniaga barangan pakaian dan beg.

Menurutnya, dia juga sudah membuat aduan kepada beberapa pihak untuk membantu warga emas itu, namun setakat ini tiada tindakan.

"Saya harap pihak bertanggungjawab datang membantu warga emas ini kerana dia tidak boleh bergerak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 1:29 PM