KWAI Chai Hong yang terletak di Lorong Panggung, Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
KWAI Chai Hong yang terletak di Lorong Panggung, Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejak lima tahun lalu, saban menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan Perayaan Kuih Bulan, Kwai Chai Hong dalam bahasa Kantonis yang bermaksud Lorong Hantu Kecil pasti meriah, dihiasi dengan pelbagai tarikan.

Sesiapa sahaja yang berkunjung ke lorong ini, terutama generasi muda, pasti akan terpukau dengan suasana retro seperti kembali ke zaman 1960-an, dengan barisan mural di dinding batu konkrit diserikan dengan jambatan kayu, menggambarkan kehidupan zaman itu.

Suasana itulah yang menyambut kedatangan penulis dan rakan media yang lain serta beberapa orang pempengaruh yang berpeluang menjejakkan kaki ke lorong yang terletak di antara Lorong Panggung dan Jalan Petaling, Kuala Lumpur, pada 23 Ogos lalu.

Pada hari itu berlangsung perasmian pameran seni Perayaan Kuih Bulan bertemakan Moonlit Dragon yang menggabungkan tema naga dan bulan purnama penuh atas jemputan Bai Chuan Management Sdn Bhd (Bai Chuan), syarikat yang menguruskan projek mengindahkan semula Kwai Chai Hong sepanjang 36 meter sejak 2019.

Perayaan Kuih Bulan atau Mid-Autumn Festival adalah salah satu perayaan terpenting bagi masyarakat Cina selain Tahun Baharu Cina, yang membawa makna 'perjumpaan semula' atau reunion. Ia disambut pada hari ke-15 bulan kelapan kalendar masyarakat Cina dan untuk 2023 ini, ia jatuh pada 29 September.

DERETAN piring berwarna putih diperbuat daripada plastik tergantung di bahagian atas pintu gerbang, sesekali mengeluarkan bunyi seperti loceng apabila ditiup angin. FOTO BERNAMA
DERETAN piring berwarna putih diperbuat daripada plastik tergantung di bahagian atas pintu gerbang, sesekali mengeluarkan bunyi seperti loceng apabila ditiup angin. FOTO BERNAMA

Saat kaki melangkah masuk ke ke Kwai Chai Hong, penulis terpandang deretan piring berwarna putih diperbuat daripada plastik tergantung di bahagian atas pintu gerbang, sesekali mengeluarkan bunyi seperti loceng apabila ditiup angin.

"Selamat datang ke Moonlit Dragon di Kwai Chai Hong!" Pengarah Urusan Bai Chuan, Zeen Chang ketika para pengamal media dan pempengaruh sedang leka memerhati perhiasan di sekitar lorong itu yang dipenuhi dengan piring plastik berwarna putih.

Di bahagian hujung kanan lorong, kami melihat sebuah replika gergasi, seakan-akan kepala naga bermata hitam.

"Inilah dia Moonlite Dragon hasil seni reka oleh pereka tempatan, Wong Kai Yi. Jika dinyalakan lampu pada waktu malam, ia akan menjadi lebih cantik," kata Chang, menambah replika yang dihasilkan oleh pereka berusia 29 tahun itu mengambil inspirasi budaya Cina serta naga yang menjadi simbol kekuasaan dalam masyarakat Cina purba.

"Apabila melihat piring putih itu, seolah-olah mengingatkan kita kepada sisik naga juga wang syiling purba Cina yang diikat dengan tali.

"Cara replika naga itu didirikan begitu dinamik, ia mengelilingi sekitar kedai di Kwai Chai Hong, seakan ia memunculkan diri di depan mata kita," kata Chang.

TEMA pemasangan untuk sambutan tahun ini berdasarkan nilai serta ajaran yang diperolehi daripada cerita rakyat Cina yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. FOTO BERNAMA
TEMA pemasangan untuk sambutan tahun ini berdasarkan nilai serta ajaran yang diperolehi daripada cerita rakyat Cina yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. FOTO BERNAMA

Menurut Chang, tema pemasangan untuk sambutan tahun ini berdasarkan nilai serta ajaran yang diperolehi daripada cerita rakyat Cina yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

"Kwai Chai Hong menjadi medan untuk memaparkan tema berkisar daripada budaya Cina, disampaikan dengan cara, kadangkala mengajak pengunjung berfikir terutamanya generasi muda. Inilah cara kami memelihara tradisi menerusi pemodenan.

"Bahan pameran di sini menyatukan pelbagai cabang kebudayaan, cerita rakyat serta simbolisme penyatuan kekuatan dan kecantikan," tambahnya.

Bercakap mengenai hasil karya kreatifnya, Wong berkata, Perayaan Kuih Bulan mempunyai tempat istimewa dalam hati masyarakat Cina yang perlu dipelihara dan kerana itulah beliau berhasrat membawa pengunjung kembali kepada zaman yang sebati dengan keindahan bulan dan kuasa naga.

"Juga pasti menambat hati permainan cahaya dan bayang, seolah semangat naga melayang-layang di celah deretan kedai, adunan seni dan seni bina yang memukau," katanya.

Secara keseluruhannya, hampir 10,000 pinggan plastik digunakan untuk membuat replika naga yang mengambil masa tiga minggu sebelum dibawa ke Kwai Chai Hong untuk pemasangan.

PENGUNJUNG merakam kenangan di Kwai Chai Hong. FOTO BERNAMA
PENGUNJUNG merakam kenangan di Kwai Chai Hong. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 7:00 AM