HAMPIR satu per empat daripada pekerja akan bertukar kerja terutama disebabkan kemunculan teknologi baharu seperti AI, ChatGPT dan ML.
HAMPIR satu per empat daripada pekerja akan bertukar kerja terutama disebabkan kemunculan teknologi baharu seperti AI, ChatGPT dan ML.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 10 jenis pekerjaan diramal bakal mengalami penyusutan dalam tempoh sedekad akan datang berikutan perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), Pengubah Generatif Pra-Latihan (ChatGPT) dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning - ML).

Pekerjaan yang diancam oleh AI adalah membabitkan tugasan asas tanpa memerlukan keupayaan kritikal serta kemahiran khusus.

Secara umumnya pelbagai sektor pekerjaan dalam kategori pengkeranian atau kesetiausahaan diramalkan bakal merosot dengan cepat susulan teknologi AI.

Laporan World Economic Forum's Future of Jobs Report 2023 menjangka sekitar 40 peratus tempoh bekerja hampir semua pekerjaan bakal terkesan dengan AI mahupun ChatGPT.

Antara segmen pekerjaan utama yang bakal diambil alih oleh AI termasuk perkeranian perbankan, juruwang, juru tiket, penyambut tetamu, pegawai khidmat pelanggan, pemandu pengangkutan awam, penganalisis data, penterjemah dan beberapa pekerjaan lain.

Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) memberi amaran akan berlaku gangguan kritikal dalam segmen pekerjaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun apabila kebanyakan industri mula mengadaptasi AI dalam rutin produktiviti mereka.

DR Mohd Khairie. FOTO BERNAMA
DR Mohd Khairie. FOTO BERNAMA

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (Acru) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, menjelang 2027 sektor pekerjaan bakal berhadapan dengan gangguan kritikal jika persediaan wajar tidak diambil segera.

"Data serta analisis Accenture (firma pakar IT antarabangsa) menunjukkan tatkala berlaku penyusutan kerja bidang tertentu, pada masa yang sama wujud permintaan berganda kerjaya baharu.

"Dijangkakan wujud lonjakan 40 peratus kerjaya yang berteraskan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.

"Malah, kerjaya seperti penganalisis dan saintis data turut diramalkan meningkat sekitar 30 hingga 35 peratus yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan baharu," katanya, semalam.

KERJAYA seperti penganalisis dan saintis data diramalkan meningkat 30 hingga 35 peratus.
KERJAYA seperti penganalisis dan saintis data diramalkan meningkat 30 hingga 35 peratus.

Beliau berkata, manakala permintaan kerja bagi penganalisis keselamatan maklumat pula berpotensi berkembang sebanyak 31 peratus.

"Laporan itu menjangkakan hampir satu per empat daripada pekerja akan bertukar kerja, terutama disebabkan kemunculan teknologi baharu seperti AI, ChatGPT dan ML. Pengadaptasian teknologi dan komunikasi digital yang lebih tinggi berpotensi mewujudkan pertumbuhan pekerjaan bersih serta mewujudkan pengimbangan yang lebih besar daripada kerugian," katanya.

Mohd Khairie berkata, pertumbuhan ekonomi lebih perlahan, kekurangan bekalan dan inflasi menimbulkan risiko terbesar kepada sektor pekerjaan.

Katanya, ini semua berlaku akibat gelombang Revolusi Industri 4.0 dan negara ini tidak terkecuali daripada terkena tempias berkenaan.

"Namun kemajuan teknologi AI juga menimbulkan 1001 persoalan serta pertikaian khususnya berhubung tahap keselamatan siber.

"Akses data pengguna semakin terdedah, kita boleh baca saban hari berlaku laporan ketirisan data sensitif pengguna dan ini kesan buruk kepada kemajuan teknologi pada hari ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pemilik industri perlu melaksanakan program peningkatan kemahiran dan penyesuaian semula kemahiran supaya pekerja berupaya berinteraksi dan melaksanakan tugas seiring dengan rangka komunikasi digital masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 7:05 AM