Oleh Shakilawati Abd Rahman

Pemergian bonda tercinta pada Mei lalu satu kehilangan besar buat penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein. Setiap hari dia tidak pernah gagal menziarah pusara ibunya bagi melepaskan rindu.

Andai terikat dengan penggambaran sebelah siang, dia pasti singgah pada malamnya. Itulah rutin Elly atau nama sebenarnya Sharifah Mazlein Syed Hanafi sejak hampir enam bulan lalu.

Hari ini dia setia meneruskan rutin itu tetapi bukan sendirian, sebaliknya akan diarak ke pusara bersama belahan jiwanya, Azmin Mohd Hata sejurus usai acara akad nikah yang dijangka berlangsung jam 11 pagi.

Pasangan sama cantik sama padan ini akan bernikah di Surau As Sakinah, Batu 12, Puchong selepas lebih tiga tahun mengikat tali pertunangan. Majlis berinai diadakan di kediaman bapanya.

Perancangan awal, Elly sepatutnya melangsungkan perkahwinan di Dewan Bukit Jalil Country Resort, namun menukar lokasi kerana mahu dekat dengan bondanya, Allahyarham Sabariah Yoon.

"Saya sangat gembira dan teruja dengan pernikahan ini, tetapi dalam masa sama berasa sangat sedih kerana mama tidak dapat menyaksikan anaknya sah bergelar isteri orang.

"Ketika saya menyuarakan hasrat mahu berkahwin, mama orang paling gembira. Dia teruja menyediakan persiapan, termasuk memilih lokasi dan menu yang bakal dihidangkan kepada tetamu.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ketika ini dengan kata-kata. Kami sangat rapat dan apabila mama tiada, saya rasa satu kehilangan besar.

"Saya putuskan buat majlis secara sederhana dan tukar lokasi pernikahan di Surau As Sakinah. Saya mahu dekat dengan mama.

"Selepas akad nikah, kami berarak ke pusara mama untuk acara bacaan doa yang diketuai imam surau. Selepas itu baru berarak semula ke surau untuk menjamu selera. Walaupun ada pelamin, ia sekadar hiasan kerana tidak ada majlis bersanding," katanya.

Pun begitu, demi tidak mengecewakan keluarga dan rakan-rakan yang bertungkus-lumus merealisasikan hari bahagianya, Elly memastikan majlisnya itu dihias indah namun mestilah bersesuaian dengan lokasi.

"Cukuplah saya rasa kemeriahan di majlis pertunangan dulu. Saya diarak dengan kereta kuda bersama mama dan kami berpegangan tangan. Kenangan itu sudah memadai buat saya.

"Apapun, saya terharu kerana ramai sudi menaja majlis pernikahan, namun ada yang terpaksa saya tolak kerana kurang sesuai dengan lokasi.

"Kalau buat di dewan tidak mengapa, tetapi apabila di surau tidaklah boleh berlebih-lebih," katanya.

Antara tajaan, persalinan berinai dan nikah oleh Eilla Faizshah dari Busana Cinta, kad kahwin dan cenderahati (@oleolemanis), dekorasi (@cheriteraqaseh), katering (Datin Anida Azmi dari D'Wedding Planner) dan bunga telur (@mysarabuffly).

Selain itu, foto ditaja @rosebaycreative untuk malam berinai serta akad nikah dan Elly menggunakan khidmat perancang perkahwinan @qarmasutra.

Elly terharu kerana semua pihak bekerja keras demi memastikan persiapan majlis berjalan lancar. Pelamin dan kanopi mula dipasang pada Khamis dan Azmi diriingi 30 motosikal Harley Davidson memasuki perkarangan Surau As Sakinah pada hari pernikahan.

"Terima kasih kepada semua penaja di atas jasa baik mereka," katanya yang membuat sendiri bunga tangan dan akan dibuka untuk tempahan.

Bertunang pada 28 Mei 2011, Elly akui mereka sepatutnya disatukan pada 12 Februari 2015 tetapi tunangnya mengambil keputusan mempercepatkan tarikh pernikahan bagi membolehkan dia menjaganya.

"Awalnya, kami bersetuju majlis pernikahan diadakan September lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja.

"Abang sedia maklum Elly sangat rapat dengan mama. Dia faham perasaan Elly bila mama tiada dan ambil keputusan untuk percepatkan tarikh nikah. Dia mahu jaga Elly dan abah.

"Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan Ilahi. Meskipun kami sibuk dengan penggambaran, persiapan berjalan lancar dengan bantuan keluarga, rakan dan penaja," katanya.

Elly yang terikat dengan penggambaran drama Cinta Ibadah akan kembali ke lokasi sejurus pulang daripada bulan madu.

Katanya, lebih mengharukan apabila pakej istimewa bulan madunya ditaja bapanya tetapi Elly enggan berkongsi lokasi, sekadar memberi klu ia sebuah pulau.

"Selepas akad nikah, kami akan habiskan masa bersama di pulau. Apabila pulang ke ibu kota, saya akan ikut abang berkonvoi dengan geng motosikalnya ke Kuantan.

"Pada Januari 2015, kami akan berbulan madu di Eropah. Sebelum itu abang sibuk mengarah beberapa produksi, termasuk drama Istikarah Cinta.

"Saya sangat gembira apabila dia sanggup melapangkan masa bagi membolehkan kami menikmati bulan madu di lokasi idaman.

"Makin dekat tarikh pernikah, dia makin teruja. Setiap kali menghubungi saya, perkataan pertama keluar dari mulutnya adalah selamat pengantin baru. Saya terhibur dengan sikapnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:03 AM