MOHD Fadzle (tiga dari kanan) menyaksikan  percubaan menerbangkan dron berteknologi tinggi yang dihantar dari Malaysia untuk misi SAR Muhammad Hawari. FOTO ihsan ME2023
MOHD Fadzle (tiga dari kanan) menyaksikan percubaan menerbangkan dron berteknologi tinggi yang dihantar dari Malaysia untuk misi SAR Muhammad Hawari. FOTO ihsan ME2023
Samadi Ahmad


Putrajaya: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang diteruskan menggunakan dua dron berteknologi tinggi dengan menyasarkan kawasan cerun berbahaya di Kem Dua dan Kem Tiga di pergunungan Everest, hari ini.

Ketua Misi ME2023 Azim Afif berkata, misi tertumpu kepada usaha mencari petunjuk seperti sut pakaian, beg dan kasut yang digunakan Muhammad Hawari ketika aktiviti pendakian ke puncak tertinggi dunia itu.

Menurutnya, pencarian sepatutnya bermula pada Isnin lalu, namun pihaknya berdepan masalah dan prosedur untuk membawa keluar satu set dron daripada pihak kastam di pusat kargo Nepal yang dihantar dari Malaysia, Sabtu lalu.

Katanya, pelepasan keluar dron hanya dapat dilakukan pada Rabu lalu dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Nepal sebelum misi SAR dimulakan hari ini.

"Pelepasan ihsan untuk misi SAR selama lima hari yang diberikan pihak berkuasa Nepal itu bermula hari ini dan kita memberi fokus kepada kawasan cerun yang tidak boleh dimasuki individu.

"Penggunaan dron ini lebih efektif berbanding menggunakan malim gunung bagi tujuan keselamatan dan mengelak sebarang perkara buruk kerana salji sudah mula mencair ketika ini.

"Dron berteknologi tinggi ini boleh terbang pada ketinggian antara 5,000 hingga 7,000 meter dengan jarak 15 kilometer dan 1,500 meter terbang menegak yang akan berpusat di Kem Dua," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Hawari yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Sebelum itu, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest kira-kira jam 3.30 petang pada 18 Mei lalu.

Pada Isnin lalu, pihak berkuasa Nepal menutup aktiviti pendakian ke puncak Everest dan akan dibuka semula pada tahun depan.

Azim berkata, ketika ini beliau bersama seorang pendaki, Tiong Ling Yang, 30, dan Pengurus Pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30, berada di Kathmandu dengan persiapan logistik yang diterbangkan ke Kem Dua dengan helikopter pada 2 petang ini waktu Nepal (4 petang waktu Malaysia).

Menurutnya, misi SAR sebelum ini yang menggunakan udara dan enam malim gunung sehingga 'zon kematian' berdepan jalan buntu.

Katanya, inisiatif penggunaan dron ini adalah ikhtiar terakhir sebelum membuat ketetapan sama ada untuk menyambung atau menamatkan misi SAR terbabit.

"Saya berharap cuaca baik sepanjang lima hari ini bagi memudahkan pencarian menggunakan dron kerana ia tidak dapat diterbangkan serta berhadapan risiko hilang di kawasan pergunungan sekiranya cuaca buruk.

"Kita berharap pencarian lima hari ini mendapat petunjuk yang positif dan sekiranya masih berdepan jalan buntu mungkin akan menamatkan SAR dan bergantung kepada nasihat serta pandangan semua pihak termasuk pihak berkuasa Nepal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 3:38 PM