PERCAYA rezeki keluarga terutama anak-anak tetap ada.
PERCAYA rezeki keluarga terutama anak-anak tetap ada.
Ridzuan Abdul Rahman


TIADA kata-kata lain kecuali kesyukuran dirasakan oleh pelakon Fizo Omar, 37, dengan kehadiran orang baharu dalam keluarganya.

Kelahiran anak ketiga, namun yang kedua bersama isteri, Fazeera Nazri, 26, pada 19 Mei lalu menjadi satu berita yang amat menggembirakan.

"Alhamdulillah... syukur saya dianugerahkan anak ketiga, juga perempuan seperti dua anak terdahulu.

Semuanya okey... bayi sihat. Kiranya saya dapat tiga puteri berturut-turut.

"Saya kena cuba lagilah untuk dapatkan anak lelaki pula. Kalau ikutkan saya nak cepat saja. Tapi mungkin bagi jarak sikit sebab yang ini di luar jangkaan sebenarnya kerana setahun dapat dua anak.

"Syukur ia rezeki tapi mungkin kali ini jarak sikit untuk seorang atau dua lagi anak. Insya Allah," katanya.

Fizo berkata, pastinya cabaran sedikit berbanding mereka yang memiliki seorang anak.

"Tapi saya lebih suka tengok pada sudut kelebihan dan kebaikan. Di mana mereka boleh membesar bersama, ada kawan dan kita pun boleh didik sekali gus semasa sekolah nanti serta dari sudut pelajaran.

"Kalau nak travel pun senang kerana semuanya perempuan. Saiz pun lebih kurang sama. Sebenarnya ramai orang terutamanya netizen di media sosial bagi pandangan.

"Saya hormati pandangan mereka tapi perspektif saya adalah lebih bagus untuk perkembangan mereka. Macam saya katakan tadi, sebagai keluarga kita letih sekali jalan. Dan yang kedua dari segi kos," katanya.

Menurutnya, bercakap dari segi kos hidup sekarang agak tinggi merangkumi pelajaran semua anak-anaknya.

"Namun saya jimat banyak kerana semuanya 'one off' sekali jalan. Saya nampak sudut itulah dan lagi satu bercakap fasal pandangan orang, masing-masing ada pendapat sendiri.

"Sebagai ketua keluarga saya fikir satu sahaja. Sekarang saya dah nak masuk umur 40 tahun. Kalau saya bagi jarak, katalah umur 50 tahun saya masih ada anak lagi mungkin berbeza.

"Okeylah...umur 50 tahun saya dikira masih 'steady' kerana ada anak. Tapi apa akan jadi lagi 20 tahun atau 25 tahun, bila anak-anak dah besar dan masuk kolej?," katanya.

Kebimbangan Fizo, adakah pada usia itu dia masih berdaya untuk bekerja mencari wang bagi menampung kos itu?

"Itu yang saya fikirkan. Mungkin dalam 10 tahun lagi kos masuk universiti sebulan boleh cecah RM5,000 hingga RM10,000 untuk seorang anak. Katalah jika ada empat anak, dah RM40,000 sebulan.

"Umur dah 60 tahun saya larat lagikah bekerja? Pada saya biar susah sekarang ini. Kita kerja kuat, kumpul duit dan besarkan anak, supaya satu hari kita dapat tengok anak-anak membesar. Insya Allah.

"Isteri saya masih lagi belajar, tengah sambung ijazah. Ada cabaran untuk dia, masih belajar dan malam ada kelas, ada tugasan dan peperiksaan. Dan dia bekerja juga secara sambilan," katanya.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar berkata, dia berfikiran positif Allah akan memberikan rezeki buat mereka.

"Allah datangkan rezeki kita bersama datangnya rezeki anak dan rezeki-rezeki yang lain. Semuanya Allah dah aturkan. Mesti ada jalan. Kita boleh kerja lebih sikit dan cari pembantu.

"Mak dan emak mentua saya serta adik beradik ada dan sangat membantu. Untuk jaga anak sememangnya tiada isu. Saya bersyukur rezeki perniagaan masih ada.

"Saya masih aktif sebagai operator kenderaan rupa bumi (ATV) di Janda Baik dan Kelantan. Selain itu jadi salah seorang pengarah di Hannan Medispa. Juga saya ada beberapa perniagaan lain yang boleh menyara hidup," katanya.

Ditanya berkenaan karier seni, Fizo berkata, dia masih lagi aktif berlakon seperti dahulu.

"Lakonan sampai bila-bila akan diteruskan kerana jadualnya sangat fleksibel. Cuma saya mungkin tak boleh beri komitmen macam dulu kerana kena bahagi-bahagikan masa dengan kerjaya lain.

"Untuk berlakon drama episod memang agak sukar. Namun sekurang-kurangnya saya akan pastikan berlakon drama, satu filem dan program travelodge sebagai pengacara dalam setahun," katanya.

Fizo dan Fazeera mendirikan rumah tangga pada Oktober 2021 dan dikurniakan cahaya mata sulung iaitu Wan Khaleeda yang kini berusia 11 bulan.

Sebelum ini Fizo pernah berkahwin dengan usahawan, Mawar Karim pada November 2013, namun bercerai pada 10 Julai 2019.

Mereka dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 6:00 AM