NOOR Azah  melayani  Aminul Ahmad  yang mengalami kanser Rosai Dorfmant dan Ainul Aminah  yang mengalami kanser neuroblastoma paliatif. FOTO AIZUDDIN SAAD
NOOR Azah melayani Aminul Ahmad yang mengalami kanser Rosai Dorfmant dan Ainul Aminah yang mengalami kanser neuroblastoma paliatif. FOTO AIZUDDIN SAAD
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Tiada lagi air mata untuk menangisi ujian hidup apabila kedua-dua anak kesayangannya masing-masing diuji dengan penyakit jarang jumpa dan penyakit kanser berstatus paliatif.

Ini kerana Noor Azah Rosli, 34, dan suami, Mohd Aminnudin Omar, 34, menerima takdir itu dengan tenang dan reda malah menguatkan semangat mereka demi dua anak yang semakin membesar.

Dua anak pasangan berkenaan, Aminul Ahmad, 9, disahkan menghidap penyakit Rosai Dorfmant iaitu sejenis penyakit pembengkakan pada kelenjar di seluruh badan dan ia adalah penyakit yang jarang jumpa.

Seorang lagi anak mereka, Ainul Aminah, 5, adalah pesakit kanser neuroblastoma atau barah saraf sejak tiga tahun lalu dan kini berstatus paliatif.

Noor Azah berkata, Ainul Aminah disahkan sebagai pesakit kanser tahap empat selepas dua minggu menyambut ulang tahun keduanya dan sebelum itu sebelah mukanya bengkak dan bawah mata lebam.

Menurutnya, anak bongsunya didiagnosis dengan penyakit itu selepas melakukan ujian darah dan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

"Aminul Ahmad pula didiagnosis penyakit jarang jumpa itu selepas kerap demam ketika berusia tiga tahun dan bermula dengan dua biji kecil seperti guli di lehernya.

"Boleh dikatakan hampir semua kelenjar di seluruh badan anak membengkak hasil keputusan Positron Emission Tomography (PET Scan) pada 2021.

"Kelenjar di lehernya memang besar seperti ketika ini, tetapi setiap kali demam Aminul akan mengadu sakit dan kelenjar itu akan bengkak dan semakin membesar," katanya yang tinggal di kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jalan Semarak, di sini.

Guru itu berkata, setakat ini tiada rawatan yang boleh dilakukan oleh kedua-dua anaknya berdasarkan tahap risiko dan keadaan penyakit mereka ketika ini.

"Ainul Aminah juga sudah menjalani kimoterapi sebanyak 17 kali selama setahun pada Oktober 2020 hingga Oktober 2021. Sekarang sel kanser masih ada di seluruh badan, tetapi setakat ini tidak aktif dan sudah tiada rawatan yang boleh dibuat.

"Begitu juga dengan Aminul Ahmad yang tiada rawatan terbaik boleh dilakukan setakat ini. Kalau pembedahan dilakukan, ia berisiko menganggu salur saraf lain, jadi kami ambil keputusan untuk tidak melakukannya," katanya.

Bercerita lanjut, Noor Azah berkata, dalam melalui ujian getir itu, dia turut bersyukur apabila kedua-dua anaknya terus membesar dengan baik setakat ini.

Menurutnya, dia bersama suami yang juga anggota polis sentiasa memberi sokongan kepada kedua-dua anak mereka kerana fizikal wajah mereka sedikit berbeza daripada kanak-kanak lain.

"Kami terapkan kata positif dengan memberitahu semua yang berlaku ini adalah kelebihan dan Allah SWT sayang mereka. Alhamdulillah, anak terutama Aminul Ahmad tidak berasa rendah diri.

"Saya dan suami saling memberi semangat dan reda, cuma untuk menerimanya mengambil masa kerana mereka saja anak kami tetapi saya sentiasa mahu berfikiran positif demi mereka.

"Setiap hari tanpa lelah saya berdoa kedua-dua anak kami sihat dan ada keajaiban berlaku yang dapat menyembuhkan mereka berdua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 12:01 PM