TIGA parah manakala seorang kanak-kanak cedera ringan selepas kereta dinaiki terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis. FOTO ihsan polis
TIGA parah manakala seorang kanak-kanak cedera ringan selepas kereta dinaiki terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Subang: Empat cedera termasuk seorang kanak-kanak lelaki selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada polis di Lebuhraya Utara Selatan dekat Putra Heights di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 1.05 pagi itu, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an sehingga 30-an cedera parah serta masih tidak sedarkan diri manakala kanak-kanak berusia empat tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sebelum kejadian kereta peronda polis yang menjalankan rondaan terserempak Proton Satria dinaiki empat individu dalam keadaan mencurigakan di USJ.

"Anggota mengekori kereta itu sambil membunyikan siren dan menyalakan lampu biru untuk mengarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

"Namun pemandu enggan berhenti dan melarikan diri sehingga melanggar palang di Plaza Tol Seafield.

"Semasa di persimpangan keluar Putra Heights, kereta suspek membelok secara agresif dan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan mendapati terdapat dua lelaki dan seorang wanita cedera parah serta seorang kanak-kanak lelaki cedera ringan.

Katanya, kesemua mereka dibawa ke Hospital Putrajaya oleh ambulans untuk rawatan lanjut.

"Siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana kereta digunakan dilaporkan hilang di kawasan Shah Alam.

"Malah semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan salah seorang suspek masih dikehendaki bersabit kes dadah di Hulu Selangor," katanya.

Wan Azlan berkata, buat masa ini kesemua suspek belum ditahan kerana masih tidak sedarkan diri dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang di talian 03-78627100.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 4:10 PM