Ahmad Ismail


Muar: "Ketika tiba di rumah, keadaan sunyi sepi tiada suara gelak tawa mereka dan saya hanya mampu terduduk walaupun ditenangkan orang kampung," kata Nabila Sedu, 31, yang kematian empat anak dalam kebakaran di rumahnya di Lorong Muhammad, Jalan Ismail di Kampung Sabak Awor di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 7.49 malam itu, kesemua anaknya, Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap.

Nabila berkata, sebelum kejadian, dia bersama suami, Thien Ko Htut, 30, keluar ke premis perniagaan bagi membeli barangan keperluan berbuka puasa dan lampin pakai buang, manakala kesemua anaknya yang sedang bermain ditinggalkan di rumah.

"Berikutan mereka leka bermain, saya ambil keputusan tinggalkan mereka sebentar, tambahan pula premis kedai tidak jauh dari rumah iaitu kurang 10 minit perjalanan.

"Saya turut berpesan kepada anak-anak agar tidak mengusik sebarang peralatan elektrik bagi keselamatan di rumah," katanya ketika ditemui di Inap Desa Jalan Beting Indah, Taman Bakariah di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua Kampung Sabak Awor, Ismail Mohd Shah.

Nabila berkata, kira-kira lima minit ketika berada di bandar, suaminya menerima panggilan telefon daripada kenalan dan bergegas pulang menaiki motosikal namun hanya melihat kepulan asap serta api memenuhi rumahnya.

"Saya tidak mampu selamatkan mereka di dunia ini namun dengan izin Allah, mereka menunggu saya di pintu syurga.

"Selepas saya diizinkan oleh anggota penyelamat yang memberi ruang, kesemua anak dilihat terbaring di bilik mandi dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.

Nabila berkata, pasukan penyelamat cuba sebaiknya menyelamatkan nyawa kesemua anaknya dan memberi rawatan serta bantuan pernafasan sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Katanya, dia reda kejadian menimpa keluarganya dan berharap orang ramai tidak menyalahkan sesiapa kerana ianya takdir.

"Tiada ibu bapa mahu tinggalkan anak di rumah dalam keadaan begitu, malah saya ingin segera pulang ke kediaman secepat yang boleh.

"Masih terngiang-ngiang suara kesemua anak-anak yang bergurau senda, malah tidak menyangka Itu kali terakhir keceriaan gelak ketawa mendengarnya, kelmarin, "katanya.

Sementara itu, Salahuddin meluangkan masa kira-kira 15 minit menyantuni keluarga mangsa dan bertanya khabar yang kini berlindung di sebuah inap desa di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:44 PM