FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Padah memberi suapan RM50 kepada anggota polis supaya tidak ditahan bagi kes individu yang dikehendaki, seorang pemandu teksi dipenjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan Beh Por Teik, 56, menjalani hukuman bermula hari ini dan memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Beh mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM50 kepada Lans Koperal Adam Mohd Alhafiz yang bertugas di cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang masih dikehendaki (wanted) bersabit satu kes tipu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kuching, di sini, pada 11 pagi, 16 September tahun lalu, mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqah Ab Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap Beh, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri serta tiga anaknya.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu (Lans Koperal Adam) dan seorang lagi anggota polis sedang membuat rondaan di Jalan Loke Yew, di sini, mereka mengekori sebuah teksi dalam keadaan mencurigakan dan kemudian menahan kenderaan itu di Jalan Kuching untuk membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan menggunakan sistem semakan MCAD (Mobile Card Acceptance Device) mendapati tertuduh mempunyai tiga rekod lampau, yang satu daripadanya masih dikehendaki bersabit laporan polis Taiping di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pengadu seterusnya memaklumkan kepada tertuduh bahawa pihak polis akan menangkapnya bersabit laporan Taiping yang dia masih dikehendaki.

Ketika proses tangkapan, tertuduh menunjukkan sekeping wang RM50 di tangan kanannya namun anggota polis itu mengingatkan tertuduh bahawa tindakan itu adalah satu kesalahan rasuah.

Beh tidak mengendahkan amaran itu lalu bertindak mencapai tangan kanan pengadu dan menyerahkan wang RM50 serta meminta dia dilepaskan tanpa perlu pergi ke balai polis.

Pengadu kemudian menggari tertuduh dan menyerahkannya kepada pihak SPRM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 3:23 PM