Najiy Jefri


TANGGAL 24 Disember lalu menjadi detik terindah buat pelakon Reen Rahim apabila selamat bergelar isteri kepada usahawan Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin dengan sekali lafaz.

Lebih mengujakan, pada hari bahagia itu semua pihak yang berteka-teki siapakah gerangan lelaki yang berjaya menambat hati Reen akhirnya terjawab.

Reen yang ditemui usai majlis pernikahannya berkata, dia tidak niat untuk merahsiakan identiti Hazim sebelum ini, tetapi dia sekadar mahu menjaga keluarga pihak suaminya.

"Bukan saya sengaja nak rahsiakan wajah bakal suami sewaktu pengumuman pernikahan saya sebelum ini. Bagi saya, selagi belum ada ikatan sah, seeloknya saya rahsiakan terlebih dahulu.

"Sebagai individu yang faham asam garam dunia seni, saya dan keluarga sudah boleh terima. Namun tidak bagi keluarga suami. Jadi saya hormat dan mahu menjaga sensitiviti mereka.

"Saya ini bukanlah orang yang baik. Tak mahulah keluar cerita yang tidak elok dan boleh mengguris hati keluarga dia. Tiada niat nak sorok pun," katanya.

REEN tiada niat untuk merahsiakan identiti suaminya sebelum ini.
REEN tiada niat untuk merahsiakan identiti suaminya sebelum ini.

Pasangan dua sejoli itu dinikahkan ayah pengantin perempuan, Abdul Rahim Abdul Kadir, di hadapan Pendaftar Nikah Putrajaya, Hafizan Ibrahim dengan mas kahwin RM1,988 dan sedulang barang kemas.

Memilih busana sedondon putih, majlis akad nikah berlatarkan rona suci itu diserikan kehadiran 400 tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua pihak dan teman terdekat.

Sementara itu, majlis resepsi diadakan pada Ahad lalu di sebuah dewan di Cheras, manakala sehari sebelum pernikahan Reen diraikan dalam majlis berinai bertemakan Bollywood di sebuah banglo di Hulu Langat.

Bercerita mengenai bibit perkenalan pasangan ini, Reen berkata, perkenalan mereka bermula ketika masing-masing terbabit dalam filem Daddyku Gangster.

REEN belum mempunyai perancangan untuk berbulan madu.
REEN belum mempunyai perancangan untuk berbulan madu.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34, memberitahu, melihat Hazim yang mengendalikan babak aksi lasak dalam filem itu membuatkan dia ingin mengenali lebih dekat.

"Selama ini perkenalan kami hanya sekadar rakan biasa. Dia tak tahu saya suka padanya sejak kami mula berjumpa di set Daddyku Gangster dua tahun lalu.

"Entah kenapa saya jatuh hati kepadanya tanpa sebab. Saya akui ada tunjuk tanda-tanda nak kenali dia lebih rapat apabila kerap mesej dan menghubunginya.

"Tapi disebabkan kami berdua dah macam kawan, jadi agak sukar nak menangi hatinya sehinggalah pada bulan Julai lalu iaitu sebulan sebelum bertunang.

"Itupun selepas dia mula sedar 'petunjuk' yang saya berikan tetapi masing-masing tak buka mulut menyatakan perasaan. Itu yang buatkan percintaan kami unik," katanya.

SAH bergelar isteri kepada Hazim pada 24 Disember lalu.
SAH bergelar isteri kepada Hazim pada 24 Disember lalu.

Kelakar

Berpeluang bertemu Hazim buat kali pertama ketika majlis pernikahan mereka, Hazim mengaku Reen berjaya memenangi hatinya menerusi sikapnya yang peramah, merendah diri dan kelakar.

"Dia wanita istimewa. Saya jatuh cinta dengan Reen bukan sebab dia seorang selebriti atau popular tetapi keperibadiannya yang sentiasa merendah diri, kelakar dan pandai ambil hati membuatkan saya terpaut.

"Cuma pada awal perkenalan saya tak perasan yang dia tunjuk minat, jadi saya selesa berkawan dengannya.

Tambah Hazim, biarpun jarak usia mereka enam tahun tetapi itu bukan halangan untuk setiap pasangan.

"Usia bukan satu masalah, sebaliknya bagaimana kami berdua nak saling memahami dan menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing.

"Saya juga tidak meletakkan apa-apa syarat kepada Reen. Jika boleh teruskan kerjaya lakonan seperti biasa.

"Apapun doakan semoga ikatan perkahwinan ini berjalan lancar dan dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 6:00 AM