- Foto hiasan
- Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Bapa tiri kepada kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia dipercayai didera di rumahnya di Taman Sri Ramal, di sini, Selasa lalu, direman selama lima hari.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, tempoh reman suspek berusia 53 tahun itu bermula hari ini hingga 28 November nanti.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mangsa berusia 11 tahun mengalami kecederaan di kepala akibat dihentak objek tumpul selain ususnya pecah.

Mohd Zaid dipetik berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang selepas tidak sedarkan diri, 11.33 malam, Selasa lalu.

Menurutnya, mangsa yang menaiki ambulans disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar, semalam, mendapati punca kematian mangsa adalah dipercayai akibat kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan usus pecah.

Malah, terdapat juga kesan cedera dan lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan mangsa.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini termasuk menggunakan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah ketika ketiadaan isterinya di rumah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 1:23 PM