LAPORAN Harian Metro semalam.
LAPORAN Harian Metro semalam.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis akan menyegerakan siasatan kes kematian tragis remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai tertusuk pisau pemotong sayur dibaling kakaknya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kakak mangsa iaitu suspek kes yang berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan remaja perempuan itu memberi kerjasama penuh.

Beliau berkata, bagi tindakan lanjut, pihaknya masih menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kita faham mereka adik-beradik, kesalahan itu (tetap) kesalahan dan kita tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya.

"Laporan bedah siasat sudah ada, siasatan akan disegerakan dan sekiranya sesuai dituduh, pertuduhan akan disegerakan.

"Selepas siasatan dijalankan, remaja berkenaan juga akan dirujuk bagi menjalani kaunseling bagi tujuan pemulihan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Polis menerima panggilan berkaitan kejadian tragis itu yang berlaku di Kampung Ulu Pulai di Ulu Choh di sini pada 2.15 petang kelmarin.

Proses bedah siasat sudah dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Pulai di sini, semalam.

Kakak mangsa pula direman enam hari sehingga 25 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua beradik itu akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Berdasarkan laporan bedah siasat, punca kematian disahkan akibat pendarahan yang banyak manakala tiada kecederaan lain ditemui di tubuh mangsa.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan polis merampas pisau pemotong sayur yang digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 12:45 PM