REMAJA perempuan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling pisau ke arah adik lelakinya berusia 16 tahun hingga maut di rumah mereka di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh. FOTO BERNAMA
REMAJA perempuan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling pisau ke arah adik lelakinya berusia 16 tahun hingga maut di rumah mereka di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh. FOTO BERNAMA
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis menasihati orang ramai supaya memberi ruang kepada siasatan dan menyerahkan kepada mahkamah susulan kejadian menimpa seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang maut akibat tertusuk pisau semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian itu menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai menunggu keputusan mahkamah.

"Setakat ini suspek sudah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan. Proses bedah siasat juga sedang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya ketika dihubungi.

Diminta mengulas berkaitan sebuah video tular yang memaparkan kanak-kanak lelaki mendakwa melihat kejadian itu, Rahmat Ariffin berkata, semua pihak seharusnya menyerahkan siasatan kepada polis dan menunggu keputusan mahkamah.

Menerusi video itu, kanak-kanak lelaki terbabit mendakwa ketika dia mahu ke sekolah agama sebelum melihat kakak sulung dan 'Haikal' bergaduh.

Kanak-kanak itu turut mendakwa 'Haikal' yang mengalami kecederaan melarikan diri dengan badan berlumuran darah.

Bagaimana kesahihan video itu masih menjadi tanda tanya berikutan tiada sebarang pengesahan daripada polis atau keluarga mangsa.

Semalam, media melaporkan mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di sini.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 2:15 PM