SEMARAK jiwa kemerdekaan membara di hati warga SK  Nanga Tada, Kanowit.
SEMARAK jiwa kemerdekaan membara di hati warga SK Nanga Tada, Kanowit.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Meskipun berada nun jauh di Kanowit, Sarawak namun semarak jiwa kemerdekaan tetap membara di hati warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tada.

Sepanjang sebulan sambutan Hari Kebangsaan 2022, sekolah itu mengadakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pakaian busana tradisional kaum di Malaysia, pertandingan basikal berhias patriotik, pertandingan bersajak dan banyak lagi.

Muhamad Hisham Husin, 31, berkata, aktiviti itu membabitkan seluruh kakitangan pengurusan, guru dan pelajar termasuk pra sekolah.

Kata guru Bahasa Melayu itu lagi, memang teruja melihat guru dan pelajar masing-masing seronok melaram busana tradisional yang mencerminkan jati diri kaum di negara ini.

"Ada yang memakai pakaian tradisi kaum Iban, Melanau, Orang Ulu, Bidayuh, Iban, Melayu, Cina dan sebagainya.

"Biarpun ada busana seperti pakaian tradisi kaum wanita Iban yang memerlukan pemakaian aksesori yang banyak dan berat, namun pelajar tidak merungut.

"Malah dengan kerjasama ibu bapa, mereka gembira kerana berpeluang melaram dengan pakaian kebanggaan kaum masing-masing sempena sambutan bulan kebangsaan," katanya kepada Harian Metro.

Muhamad Hisham berkata, sekolah berkenaan terletak kira-kira sejam perjalanan dari pekan Kanowit dan memiliki kira-kira 270 pelajar yang majoritinya adalah kaum Iban.

Katanya, sebagai sekolah yang terletak di kawasan luar bandar dan memiliki ramai pelajar yang kurang berkemampuan, pihak sekolah terutama Guru Besar, Mikem Ak Longiok yang cukup kreatif dalam merencanakan pelbagai aktiviti bagi menarik minat penyertaan pelajar.

"Seperti pelajar lain yang terkesan dengan penularan Covid-19, pelajar sekolah ini juga tidak terkecuali.

"Justeru, sempena sambutan Hari Kebangsaan, kami memilih untuk mengadakan pelbagai pertandingan dengan harapan selain memupuk semangat cintakan tanah air, ia juga dapat mengembalikan keceriaan pelajar dan menarik minat mereka untuk datang ke sekolah," katanya.

Muhamad Hisham yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan itu mengakui kagum dengan semangat satu Keluarga Malaysia dalam kalangan warga sekolah dan penduduk hinggakan mereka boleh makan semeja walaupun berlainan agama, kaum serta budaya.

"Itu yang menariknya mengenai masyarakat Sarawak, walaupun memiliki pelbagai kaum dan budaya yang berbeza, namun masyarakat tetap hidup aman harmoni.

"Hanya mereka yang pernah berkunjung ke sini tahu betapa indah dan uniknya negeri ini.

"Semoga keamanan dan keharmonian pelbagai kaum hari ini akan dapat diwarisi kepada anak cucu pada masa depan kelak, " katanya yang sudah lapan tahun menabur bakti di bumi kenyalang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 8:46 AM