RAHMAT Mega
RAHMAT Mega
Zaara Talita


Sebagai artis otai dan penyanyi yang popular dengan irama rock, Rahmad Mega semestinya mempunyai 'taring' tersendiri.

Rahmad, 52, atau nama sebenarnya Rahmad Tohak dilihat menjadi pesaing yang kuat menerusi program nyanyian Terpaling Juara di TV3.

Ia dapat disaksikan selepas memenangi persembahan terbaik pada minggu pertama.

Namun, Rahmad di bawah bimbingan Kapten Hael mula rasa keliru selepas ditegur oleh juri tetap persembahan ditampilkan tiada elemen baharu dan segar.

Persoalan mula timbul apabila ada yang memberikan persepsi dapatkah Rahmad terus bersaing dengan Hazami dan peserta junior yang semakin serius dalam membuktikan kemampuan masing-masing?

Kapten Hael amat menyukai cara nyanyian Rahmad dan mahu mengekalkan identiti penyanyi rock dalam persembahan.

"Setiap minggu, saya berjaya membawa lagu dengan baik dan menepati kehendak Kapten Hael, tapi juri mahu melihat saya beraksi di luar kotak. Saya mula jadi keliru dan tekanan menjadi sangat besar kerana ia perlukan perbincangan dan aturan strategi baharu dengan kapten." kata Rahmad.

"Terpaling Juara memberi kepuasan yang besar bagi saya untuk terus berkarya. Saya menyahut cabaran ini dengan hati terbuka. Walaupun semakin tertekan, saya akan fokus dan menggali lagi sisi berbeza untuk persembahan yang 'wow' pada minggu ini. Ia bukanlah jalan mudah bagi saya kerana Hazami, Shaz, Aqeesh dan Aqmal juga mempunyai potensi besar untuk menang." katanya.

Pada saat yang genting ini, Kapten Hael terikat dengan komitmen lain dan kini berada di Milan sehingga Sabtu. Bagaimana dengan persiapan Rahmad Mega yang dikehendaki berduet dengan Ayda Jebat menerusi lagu 'Keliru' (AJL17, nyanyian asal oleh Nurul & Ajai)? Adakah ketiadaan Kapten Hael akan mengganggu sesi latihan?

Persembahan malam ini bakal menyaksikan peserta Terpaling Juara berduet dengan artis pilihan dalam senarai Pilihan Lagu Terpaling antaranya Keliru (AJL17, nyanyian asal oleh Nurul dan Ajai) bakal disampaikan Rahmad Mega dan Ayda Jebat. Lagu Ku Bersuara (AJL34, nyanyian asal oleh Ernie Zakri) pula dipersembahkan oleh Shaz dan Nikki Palikat.

Sementara Kisah Cinta Kita (AJL34, nyanyian asal oleh Hafiz Suip) dinyanyikan oleh Aqeesh dan Cliff Umar manakala lagu Pelangi Senja (AJL27, nyanyian asal Stacy) dinyanyikan Hazami dan Stacy.

Lagu Terukir Di Bintang (AJL27, nyanyian asal Yuna) dinyanyikan oleh Aqmal dan Aizat Amdan.

Terpaling Juara disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam,

setiap Ahad jam 9 malam dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 6:30 AM