Ahmad Johari Mohd Ali


Putrajaya: Permohonan Datuk Seri Najib Razak menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan sebentar tadi.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib selepas peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding rayuan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding rayuan akhir itu bermula Khamis ini.

Tengku Maimun dalam keputusan itu berkata, Najib mengetahui tarikh prosiding rayuan akhir tetapi memilih untuk melantik peguam baharu mewakilinya.

Beliau berkata, walaupun itu adalah haknya untuk memilih tetapi Najib kemudian tidak boleh menyatakan bahawa peguamnya tidak bersedia dengan rayuan akhir.

Terdahulu, Najib menerusi peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik memohon mahkamah menangguhkan prosiding rayuan akhir kes itu.

Hisyam yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir, sejurus mahkamah menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung peranan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Katanya, rayuan akhir itu membabitkan dokumen yang banyak iaitu sebanyak 179 jilid dan keterangan saksi yang ramai.

Hisyam memohon agar rayuan utama ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama hanya dibuat baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, pula memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 4:24 PM
NAJIB ketika mengadakan sidang media selepas sesi perbicaraan tamat pada rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
NAJIB ketika mengadakan sidang media selepas sesi perbicaraan tamat pada rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad