Ahmad Johari Mohd Ali


Putrajaya: Peguam bela Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding hari kedua semakan kes penyelewengan dana SRC International dihadapi bekas perdana menteri itu hari ini, memberitahu beliau ibarat 'hiasan' dalam prosiding itu.

Ia berikutan keengganan Mahkamah Persekutuan membenarkan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik menangguhkan prosiding rayuan akhir pada Ogos tahun lalu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya berkata, ia menyebabkan rayuan akhir itu dijalankan dalam keadaan Najib diwakili secara paksa, sekali gus tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Menurut peguam senior itu, anak guamnya sebenarnya tidak diwakili peguam ketika itu dalam usaha terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC.

Muhammad Shafee berkata, Najib bukan sahaja tidak dibenar mendapat penangguhan, malah Hisyam terpaksa kekal di mahkamah dan mewakili Najib walaupun selepas dua kali memohon untuk menarik diri susulan daripada itu.

"Saya bukan bermaksud untuk tidak menghormati Tuan Haji Hisham, tetapi ketika rayuan akhir itu, beliau menjadi peguam yang tidak efektif kerana tidak bersedia .. ini sendiri diakui sendiri olehnya.

"Malah perkara itu sudah dinyatakan olehnya pada 16 Ogos tahun lalu ketika hari pertama pendengaran bahawa jika penangguhan tidak dibenarkan beliau akan menarik diri, kemudian pada 18 Ogos penangguhan tidak dibenarkan jadi beliau mohon untuk menarik diri.

"Beliau bagaimanapun tidak dibenarkan menarik diri ketika itu, …dan Najib pula tidak boleh untuk melantik peguam (lain). Ketika prosiding beliau (Hisyam) hanya 'hiasan'', sekadar ilusi dan tidak mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Pada hari kedua rayuan akhir terbabit tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri selepas mendapati peguam itu gagal memberikan alasan mencukupi.

Tengku Maimun dalam keputusannya berkata, mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam untuk menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.

Hisyam sebelum itu memohon menarik diri daripada mewakili Najib jika penangguhan prosiding tidak dibenarkan dan merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang tidak membenarkan penangguhan adalah satu kesilapan yang sangat besar yang mewajarkan Najib mengemukakan permohonan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Menurut peguam itu, apa yang berlaku pada prosiding berkenaan adalah bertentangan dengan asas perbicaraan yang adil dan tindakan yang diambil panel pada ketika itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

Katanya, tidak dinafikan peguam sering meminta penangguhan dan mahkamah mungkin tidak berpuas hati , tetapi untuk meneruskan kes dalam keadaan peguam tidak bersedia atau menarik diri bukanlah cara yang terbaik untuk menanganinya.

"Ada beberapa tindakan yang boleh diambil jika tiada peguam atau peguam tidak bersedia kerana sudah tentu anak guam tidak boleh berhujah sendiri.

"Antaranya ialah Mahkamah Persekutuan boleh membatalkan rayuan dengan kebebasan untuk memfailkan semula (rayuan berkenaan). Kenapa perlu hukum anak guam saya?," katanya.

Pendengaran semakan berkenaan bersambung hari ini esok.

Terdahulu prosiding perbicaraan bagi permohonan semakan Najib untuk membatalkan sabitan bersalah terhadapnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International bersambung hingga Rabu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli pada 19 Januari laluprosiding kepada 20 hingga 22 Februari ini.

Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Najib tiba di mahkamah pada jam 8.25 dengan menaiki kenderaan penjara dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir bagi memberi sokongan kepadanya.

Prosiding hari ini bermula pada 10 pagi, bagaimanapun berhenti rehat seketika ketika peguam Muhammad Shafee Abdullah baru memulakan hujahan, difahamkan akibat masalah teknikal.

Bekas perdana menteri itu memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu atau agar rayuannya didengar semula.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.

Setelah gagal di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, bekas perdana menteri itu memohon panel mahkamah tertinggi baharu untuk mendengar semakan dikemukakannya terhadap sabitan dan hukuman sebelum ini.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais telah dipilih untuk berada di bangku simpanan berdasarkan Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan, demi kepentingan keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V Sithambaram bertindak sebagai pihak pendakwaan.

Ini adalah percubaan terakhir Najib, 69, melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan sabitan yang diputuskan terhadapnya pada Ogos tahun lalu.

Najib juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitan beliau dalam kes SRC International.

Selain itu, Najib juga melalui Tetuan Shafee & Co pada 5 Januari memfailkan petisyen di kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).

Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan dia memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 3:56 PM
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM