Muhammad Saufi Hassan dan Nor’Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Ramai penagih dadah berhalusinasi sehingga akhirnya mungkin sehingga ke tahap mencederakan atau membunuh ahli keluarga kerana disangkakan hantu, musuh selain individu yang mahu mencederakan mereka.

Gangguan mental ini yang dialami kebanyakan penagih dadah disebabkan pengambilan dadah jenis stimulan secara berpanjangan.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid menjelaskan, dadah jenis stimulan paling kerap dikaitkan dengan gejala psikosis atau gangguan mental yang teruk.

Rusdi berkata, dadah jenis stimulan seperti methamphetamine, amphetamine, ketamin dan beberapa jenis dadah lain boleh menyebabkan peningkatan 'dopamine' dalam otak sekali gus mengakibatkan gejala psikosis.

Katanya, psikosis ini berlaku sama ada berhalusinasi seperti mendengar suara-suara halus, nampak imej atau bayangan yang orang lain tidak nampak, rasa sesuatu merayap di dalam kulit atau badan atau terbau sesuatu yang hanya mereka saja yang mengalaminya.

"Kajian yang pernah dibuat mendapati, 36.5 peratus penagih Methamphetamine akan mengalami gangguan psikotik disebabkan oleh dadah berkenaan.

"Mereka yang mengambil dadah stimulan biasanya menjadi bertenaga, bercakap banyak dan terlebih aktif malah boleh berjaga malam selama berhari-hari.

"Keadaan ini boleh disertai dengan gejala psikosis yang menyebabkan mereka menjadi tidak rasional seperti pesakit mental sehingga ada kalanya bertindak agresif," katanya.

Rusdi berkata, keadaan menjadi tidak terkawal apabila dadah diambil secara lazim untuk jangka masa yang lama sehingga individu terbabit mengalami ketagihan yang teruk.

Beliau berkata, gejala psikosis mengakibatkan mereka menjadi tidak rasional di mana halusinasi dan delusi mempengaruhi tindak tanduk individu terbabit.

"Pada tahap ini, mereka tidak dapat membezakan antara realiti, fantasi dan mimpi sekali gus boleh menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan seperti membunuh ahli keluarga yang disangkakan hantu, musuh atau orang yang ingin mencederakan mereka," katanya.

Menurutnya, apabila terputus bekalan dadah, individu ini akan berasa sangat letih, tidur sepanjang hari, rasa sangat lapar selain murung.

Katanya, penagih ini juga menjadi cepat marah.

"Berdasarkan kepada kajian saya di Hospital Bahagia, Perak dalam kalangan pesakit schizophrenia mendapati, kelaziman pesakit berkenaan menggunakan dadah adalah sebanyak 24.7 peratus.

"Kajian yang saya laksanakan adalah sekitar 2004 dengan dadah paling kerap digunakan ialah kanabis iaitu 16.7 peratus, heroin sebanyak 6.7 peratus dan dadah jenis stimulan sebanyak 5.7 peratus.

"Pesakit schizophrenia, terutama lelaki yang menggunakan dadah, mempunyai lebih kecenderungan untuk menjadi agresif," katanya.

Menurut Rosdi, psikosis akibat dadah stimulan boleh menyerupai gejala penyakit schizophrenia.

Cumanya, psikosis akibat dadah stimulan bersifat sementara dan akan hilang apabila penagih berhenti mengambil dadah sepenuhnya.

Beliau berkata, gejala psikosis akan turut hilang apabila kesan dadah itu hilang.

Menurutnya, peranan ahli keluarga untuk mengenalpasti dan membawa individu terbabit untuk mendapatkan rawatan awal di fasiliti kesihatan sangat penting.

"Ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti mencederakan keluarga atau sehingga mengakibatkan seseorang kehilangan nyawa," katanya.

Syabu pilihan utama penagih dadah

PENAGIH dadah perlu rawatan segera agar tidak mengundang bahaya kepada orang sekeliling.
PENAGIH dadah perlu rawatan segera agar tidak mengundang bahaya kepada orang sekeliling.

Lapan daripada 10 penagih dadah didapati mengalami ketagihan syabu manakala dua yang lain ketagihan ganja.

Itu hasil awal kajian dilakukan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fundamental Research Grant Scheme, Kementerian Pengajian Tinggi pada 2020.

UPM juga menghasilkan modul Modul Kepemimpinan Bimbingan Kendiri dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ia digunakan sebagai satu daripada program sokongan psikososial kepada penagih yang dalam proses kepulihan.

Modul ini diperkenalkan sejak 2018 membabitkan 17 peserta rintis yang mana 14 daripadanya berjaya kekal pulih hingga kini, malah aktif melaksanakan aktiviti bimbingan kepada rakan kepulihan untuk bebas daripada masalah ketagihan dadah.

Pensyarah Psikologi, Fakulti Ekologi Manusia UPM Prof Madya Dr Hanina Hamsan berkata, dapatan kajian itu adalah temubual bersama bekas pesalahguna dadah untuk mengetahui tingkah laku ketagihan berdasarkan jenis dadah diambil.

Menurutnya, syabu menjadi pilihan utama kalangan penagih dadah masa kini, tidak kira remaja atau dewasa.

"Bagi penagih remaja, pengambilan syabu atau nama lain disebut 'ice', 'kristal' atau 'batu' adalah kerana terpengaruh dengan rakan-rakan.

"Manakala penagih dewasa pula, mereka mengambil syabu kerana ia dikatakan sebagai 'ubat' yang kuat, paling cepat berkesan, mudah didapati dan harganya lebih murah berbanding ubat lain.

"Ada informan saya (bekas penagih) yang bekerja sebagai tukang masak mengatakan, tujuan utama mereka mengambil syabu adalah untuk mendapatkan tenaga tambahan supaya boleh memasak dengan cepat selain bertahan dalam tempoh lama," katanya.

Hanina berkata, penagih syabu cenderung bertindak agresif atau ganas dalam fasa sebelum dan selepas menghisap dadah berkenaan.

"Apabila dalam keadaan ketagihan yang tinggi (belum memperoleh syabu), mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan bekalan itu termasuk mencuri atau bertindak ganas terhadap orang di sekeliling.

"Pada ketika ini, mereka tidak lagi berfikir waras. Fokus mereka ialah, mesti dapatkan 'barang' secepat mungkin kerana tidak tahan dengan ketagihan" katanya.

Menurut Hanina, selepas 20 minit menghisap dadah, penagih akan khayal dan berada pada puncak emosi keseronokan yang tinggi, seolah-olah berada di alam fantasi.

"Bagi yang mengambilnya untuk tenaga tambahan, mereka akan bekerja tanpa henti, kelihatan sangat cekap dan hebat, boleh terus bekerja tanpa tidur serta makan.

"Namun, ia hanya sementara. Fasa ini hanya mampu bertahan dalam tempoh kurang 12 jam. Selepas itu, penagih akan berada dalam keadaan berbeza. Keadaan fizikal yang sangat lemah, lapar, tidak boleh fokus, sakit kepala, gelisah, cemas, kemurungan dan mudah marah.

"Ada juga yang boleh tidur seharian, malah lebih daripada 24 jam. Pada fasa ini, mereka mudah bertindak agresif sekiranya merasakan ada 'provokasi' daripada orang sekeliling," katanya.

Ditanya punca penagih sukar pulih daripada masalah ketagihan dadah, beliau berkata, faktor pertama ialah berkaitan dengan diri penagih itu sendiri.

"Faktor kedua ialah kekurangan sokongan keluarga. Penagih juga perlu menjaga lingkungan pergaulan dengan rakan-rakan, sekiranya mahu pulih daripada ketagihan," katanya.

Rawat segera sebelum penagih menjadi pembunuh

Kira-kira 60 hingga 70 peratus penagih dadah perlu mendapatkan rawatan pakar psikiatrik atau bergantung dengan pelbagai jenis ubat-ubatan.

Ia adalah akibat daripada ketagihan dadah jenis stimulan iaitu methamphetamine atau bahasa jalanannya 'meth', 'ice', 'batu' atau 'syabu'.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Ramli Abd Samad berkata, kebanyakan klien rumah Pengasih mengalami kecelaruan mental atau psikosis dan memerlukan rawatan lanjut.

Menurutnya, wujud beberapa peringkat gangguan mental iaitu ada penagih dadah jenis syabu ini yang hanya mengalami psikosis tahap sederhana saja dan individu ini perlu mengambil ubat secara berpanjangan.

"Saya boleh katakan, 60 hingga 70 peratus penagih dadah perlu bergantung dengan ubat-ubatan bagi individu yang mengalami masalah gangguan mental sederhana.

"Bagi klien kami yang sudah diperiksa oleh doktor pakar dan disahkan mengalami gangguan mental kritikal, mereka perlu menjalani rawatan di hospital terlebih dahulu.

PENAGIH dadah bertindak agresif akibat gejala psikosis.
PENAGIH dadah bertindak agresif akibat gejala psikosis.

"Ini penting kerana mereka yang mengalami psikosis kritikal ini mampu untuk bertindak agresif sehingga kepada mencederakan orang atau membunuh kerana tidak mempunyai kestabilan mental," katanya.

Ramli berkata, sejak akhir-akhir ini, banyak kes membabitkan penagih dadah mengalami kesan psikosis kritikal yang mana mereka juga sanggup mencederakan individu lain, termasuk ahli keluarga.

Katanya, peranan keluarga adalah sangat penting untuk merujuk ahli keluarga yang mengalami ketagihan dadah kepada hospital bagi rawatan lanjut.

"Kami di Pengasih sangat berterima kasih kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang memberikan kami rawatan untuk diagnosis penagih dadah ini.

"Saya mengharapkan masyarakat lebih peka dengan keadaan sekeliling, termasuk ahli keluarga yang berdepan masalah ketagihan dadah serta tidak malu menghantar mereka untuk mendapatkan rawatan.

"Penagih dadah berulang yang mengalami psikosis kritikal ini perlu dirawat pakar perubatan bertauliah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 12:00 PM