TEMU BUAL kisah penghisap ganja di Rumah Pengasih dengan wartawan Harian Metro. FOTO HAZREEN MOHAMAD
TEMU BUAL kisah penghisap ganja di Rumah Pengasih dengan wartawan Harian Metro. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bermula dengan pengambilan ganja seawal usia 20-an mendorong seorang pegawai pemasaran mengambil dadah jenis sintetik kerana mahu kesan khayal yang lebih kick.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai John, 30, berkata, dia mula mengambil ganja pada usia 22 tahun ketika menuntut dalam ijazah sarjana muda undang-undang di sebuah universiti swasta pada 2013.

"Saya mula terjerumus dengan ganja kerana terpengaruh dengan rakan-rakan kerana mahu bersosial. Apabila saya mengambil ganja, ia membantu saya mengurangkan rasa malu untuk berkomunikasi dengan rakan selain ketika berhibur.

"Sepanjang tempoh mengambil ganja, saya nampak ada perubahan pada diri saya apabila mula hilang fokus pada pembelajaran," katanya ketika ditemui di Rumah Pengasih di sini, baru-baru ini.

John berkata, selepas empat tahun mengambil dadah itu, dia bertukar kepada dadah jenis sintetik iaitu syabu untuk mendapatkan lebih keseronokan terutama ketika berhibur.

"Walaupun syabu dilihat lebih memudaratkan namun ganja juga mendatangkan banyak kesan negatif ke atas diri saya hingga mengalami masalah kesihatan mental.

"Ada satu ketika, saya pernah berfikir untuk membunuh diri kerana gagal mengawal emosi akibat kesan pengambilan dadah-dadah berkenaan sejak 2013 hingga 2021.

"Namun saya bernasib baik apabila ahli keluarga dan rakan-rakan banyak memberikan sokongan untuk berubah sehingga saya mendaftar dengan Pengasih untuk menghilangkan ketagihan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi klien di Pengasih yang hanya mahu dikenali sebagai Azam, 27, berkata, dia terpaksa mengundur diri dari kerjayanya dengan pasukan beruniform bagi mengatasi masalah ketagihan ganja dialami sejak 2013.

"Saya mula mengambil ganja semasa menuntut dalam diploma perniagaan di sebuah universiti awam kerana perasaan ingin tahu membuak-buak apabila melihat rakan menghisap dadah berkenaan.

"Pada mulanya saya mengambil dadah itu seminggu sekali sahaja iaitu ketika mahu berhibur. Namun dalam tempoh lapan bulan saya mengambil ganja, jadual pengambilan itu berubah menjadi setiap hari.

"Ia menyebabkan saya terpaksa menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membeli dadah itu yang dijual pada harga RM100 bagi sepeket ganja seberat 50 gram," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh mengambil ganja, dia mula mengasingkan diri daripada rakan dan ahli keluarga kerana kekok untuk berkomunikasi dengan mereka jika tidak menghisap dadah itu.

"Malah, saya mula berani mengambil dadah berkenaan ketika bekerja. Rakan sekerja juga menyedari ada perubahan dalam diri saya apabila lebih banyak menyendiri dan mudah marah.

"Apabila masalah ketagihan semakin serius, saya membuat keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada rawatan pemulihan atas nasihat ibu bapa supaya berubah.

"Selepas hampir dua tahun saya mendapatkan rawatan di sini (Rumah Pengasih), saya akan 'bebas' tidak lama lagi dan merancang mahu bekerja dengan ayah dalam bidang pembinaan," katanya.

PENGHUNI Rumah Pengasih menceritakan pengalaman dilalui.
PENGHUNI Rumah Pengasih menceritakan pengalaman dilalui.

'Pek permulaan' buat penagih baru

Kuala Lumpur: Ganja adalah 'pek permulaan' bagi kebanyakan penagih sebelum mereka beralih kepada dadah sintetik.

Timbalan Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Hafizi Harun berkata, terdapat kira-kira 60 klien di pusat pemulihan berkenaan ketika ini.

"Daripada jumlah itu, dianggarkan kurang 10 klien yang mengambil ganja secara khusus.

"Namun majoriti klien iaitu kira-kira 90 peratus yang mengambil dadah sintetik seperti syabu, heroin serta ketamin turut menagih ganja pada mulanya.

"Ini kerana kebanyakan mereka dalam proses ekperimen iaitu baru mula 'berjinak' dengan dadah sebelum berubah mengambil dadah sintetik yang lebih kick," katanya ketika ditemui di Rumah Pengasih di sini, baru-baru ini.

Hafizi berkata, antara faktor yang mendorong kepada penagihan dadah adalah persepsi orang ramai yang mendakwa pengambilan ganja tidak mudarat dan tidak ketagih.

"Ada dalam kalangan masyarakat yang menganggap pengambilan ganja tidak akan menyebabkan ketagihan berbanding dadah sintetik dan mendakwa ia adalah dadah yang berisiko rendah.

"Ini ditambah dengan situasi banyak negara menghalalkan penggunaan ganja daripada segi perundangan yang sekali gus mengelirukan masyarakat mengenai dadah berkenaan," katanya.

Beliau tidak menafikan terdapat kajian menunjukkan penggunaan ganja mempunyai nilai perubatan namun ia memerlukan preskripsi daripada pakar atau doktor bertauliah.

"Terdapat dua bahan kimia yang terdapat pada ganja iaitu CBD (Cannabidiol) dan THC (Tetra Hydrocannibol). Bagi CBD, ia digunakan dalam bentuk minyak bagi tujuan perubatan, namun yang diambil oleh penagih adalah THC yang memberi kemudaratan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 12:00 PM