SEMEK menunjukkan gambar anak serta menantunya yang maut dalam nahas, kelmarin.
SEMEK menunjukkan gambar anak serta menantunya yang maut dalam nahas, kelmarin.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Nazdy Harun

Kuala Berang: Naluri seorang ibu yang berasa tidak sedap hati sejak Sabtu lalu akhirnya terjawab apabila anak, menantu dan dua cucunya terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa di Gerik, Perak, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, buruh, Azmi Imas, 46, dan isterinya, Rohani Abdullah, 47, maut di lokasi selepas kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda.

Dua anak mereka, Nur Aina Fatiha, 18, dan Muhammad Adam Darwish, 14, pula cedera.

Ibu kepada Rohani, Semek Abdul Rahman, 80, berkata dia berasa seperti sesuatu akan berlaku, tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

"Saya rasa tak sedap hati macam ada sesuatu akan berlaku dan mula rasa pelik bila tengok orang ramai mula memenuhi rumah malam tadi (kelmarin).

"Saya tanya ahli keluarga dan minta mereka berterus terang sebelum dimaklumkan kejadian menimpa anak, menantu dan dua cucu. Kejadian berlaku tiba-tiba dan susah untuk saya luah apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Buluh, di sini, semalam.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah anak dan menantunya pada Jumaat lalu apabila mereka sekeluarga datang ke rumahnya untuk menghantar makanan.

Katanya, anaknya memaklumkan akan ke Kedah pada keesokkannya untuk menghantar anak sulung mereka, Muhammad Arif Haiqal, 20, yang belajar di Kolej Pertanian Bukit Kayu Hitam, Kedah.

"Ketika itu, mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan dan saya ada berpesan supaya mereka berhati-hati sepanjang perjalanan. Namun, kita mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya.

"Siapa sangka dalam kegembiraan kita menyambut Aidilfitri, kami sekeluarga diuji dengan tragedi ini, memang terkejut tetapi saya reda dengan kehilangan anak dan menantu," katanya.

KEADAAN kereta mangsa yang terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda.
KEADAAN kereta mangsa yang terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda.

Azmi, Rohani tak sahut panggilan anak

Anak kedua kepada suami isteri yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa di Gerik, Perak, kelmarin berusaha untuk mengejutkan kedua-dua orang tuanya.

Nur Aina Fatiha, 18, yang berada dalam kenderaan bersama bapanya, Azmi Imas, 46, dan ibunya, Rohani Abdullah, 47, dikatakan beberapa kali memanggil nama mereka, namun kedua-duanya tidak memberikan sebarang tindak balas.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.45 petang, Azmi dan Rohani maut di lokasi kejadian manakala Nur Aina Fatiha serta adiknya, Muhammad Adam Darwish, 14, cedera.

Adik kepada Azmi, Mustaffami, 34, berkata dia menerima panggilan telefon daripada Nur Aina Fatiha yang berada di dalam kenderaan selepas kejadian.

"Dalam panggilan telefon itu, dia bagi tahu cuba mengejutkan kedua-dua ibu bapanya, namun mereka tidak memberi tindak balas.

"Saya cuba tenangkan anak saudara saya dan meminta Aina memberi telefon berkenaan kepada pengguna jalan raya lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tersat, di sini, semalam.

Menurut Mustaffami, anak saudaranya kemudian memberi telefon kepada seorang pengguna jalan raya yang kebetulan membantu mereka dan kemudian memaklumkan abang dan kakak iparnya sudah meninggal dunia.

Katanya, pengguna jalan yang bercakap dengannya memaklumkan seorang doktor yang juga pengguna jalan itu sudah memeriksa nadi dan mendapati kedua-dua sudah pergi buat selamanya.

"Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini dan akan menjaga tiga anak arwah sebaik mungkin selepas mereka hilang kedua-dua orang tua dalam sekelip mata," katanya.

Katanya, jenazah suami isteri berkenaan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Tersat, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 12:00 PM