Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Kampung Simpang Tok Ku di sini, 11.30 pagi, hari ini.

Kejadian berlaku ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu dan Bukit Aman melakukan rondaan Op Kesan sebelum terserempak dengan Honda Civic yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Wakaf Beruas di sini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, pasukan operasi mengarahkan suspek yang dipercayai terbabit kegiatan jenayah dan dadah memberhentikan kenderaan namun mereka melarikan diri sebelum anggota mengejar kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, selepas hampir dua kilometer mengejar kenderaan dinaiki suspek, polis menghalang kenderaan mereka sebelum seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah polis.

ANGGOTA Unit Polis Forensik memeriksa kenderaan yang dinaiki dua suspek. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA Unit Polis Forensik memeriksa kenderaan yang dinaiki dua suspek. FOTO Ghazali Kori

"Kita membalas tembakan berkenaan sebelum seorang penjenayah ditemukan mati di dalam kereta manakala salah seorang suspek melarikan diri.

"Bagaimanapun, kita berjaya mengejar suspek yang bersembunyi di dalam rumah kosong yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian tembakan pertama.

"Kita berjaya mengepung rumah berkenaan dan mengarahkan suspek menyerah diri namun suspek enggan menyebabkan kita mengambil tindakan masuk ke dalam rumah itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Wan Rukman berkata, suspek bertindak agresif apabila melepaskan tembakan ke arah polis namun terkena penghadang sebelum pasukan membalaskan tembakan berkenaan.

Beliau berkata, insiden itu menyebabkan suspek maut di tempat kejadian.

Pihaknya sedang mengenal pasti identiti kedua-dua suspek termasuk senjata yang digunakan, kata Wan Rukman berkata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:24 PM