Ahmad Zahid hadir bagi hujahan akhir pendakwaan kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ahmad Zahid hadir bagi hujahan akhir pendakwaan kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai pengetahuan mengenai penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi sejak 2014.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berhujah bahawa tertuduh juga mengetahui mengenai kegunaan cek Akalbudi dan pengeluaran deposit tetap daripada akaun yayasan berkenaan.

Katanya, terdapat bukti jelas yang menunjukkan bahawa tertuduh menyalahgunakan dana Akabudi dalam akaun semasa dan tujuh akaun deposit tetap yang diamanahkan kepadanya.

"Berdasarkan semua bukti dan keterangan, pihak pendakwaan berhujah bahawa satu kes prima facie berjaya diwujudkan membabitkan kesemua 12 kesalahan pecah amanah terhadap tertuduh.

"Sehubungan itu, Ahmad Zahid wajar dipanggil membela diri bagi 47 tuduhan menbabitkan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram," katanya.

Pada prosiding itu, pendakwaan turut menyentuh mengenai kredibiliti saksi ke-90 pendakwaan (SP90), bekas setiausaha eksekutifnya Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang dicabar oleh pihak pembelaan.

Raja Rozela berkata, Mejar Mazlina adalah saksi yang kredible, malah tindak-tanduknya adalah konsisten sebagai tentera yang mematuhi arahan pegawai atasannya.

"Penggunaan cop tandatangan oleh Mejar Mazlina juga mendapat kebenaran tertuduh untuk pembayaran kad kedit.

"Sekiranya beliau bertindak sembarangan seperti yang dicadangkan oleh pembelaan, beliau (Majer Mazlina) boleh menggunakan cop itu ke atas semua 43 cek tanpa perlu menunggu tandatangan tertuduh," katanya.

Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan bersambung Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 6:06 PM