TEKONG laut warga Indonesia dalangi kegiatan seludup migran ditahan selepas risikan sebulan
TEKONG laut warga Indonesia dalangi kegiatan seludup migran ditahan selepas risikan sebulan
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tekong laut warga Indonesia dikenali sebagai Maman berusia 24 tahun yang mendalangi kegiatan penyeludupan migran sekitar Sekinchan, Sabak Bernam, dekat sini, dipercayai mampu mengaut ratusan ribu ringgit hasil kegiatan haram itu.

Maman dikatakan mengenakan caj sebanyak RM1,500 bagi setiap migran yang mahu mahu ke negara ini selain RM1,200 kepada mereka yang mahu keluar dari Malaysia.

Kelicikan Maman yang berpura-pura sebagai nelayan itu bagaimanapun 'musnah' dalam satu operasi khas hasil risikan selama hampir sebulan melalui Op Pintas dilakukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman, kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.30 malam itu, seramai sembilan warga Indonesia yang baru masuk secara haram ke negara ini berjaya ditahan bersama 22 lagi Pati di sebuah rumah di Sekinchan.

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa biarpun berdepan kawalan ketat kawasan sempadan negara rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dari 1 Julai hingga kini Maman dipercayai sudah berjaya menyusup masuk antara 30 hingga 40 migran.

Mengulas lanjut, sumber berkata, modus operandi dipraktikkan Maman adalah dengan melakukan pertukaran di perairan antarabangsa sebelum membawa masuk pendatang tanpa izin (Pati) dalam kumpulan kecil dan disimpan di lokasi tertentu atau rumah penampungan sebelum diserahkan kepada pihak ketiga.

"Sebelum berkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita percaya Maman mampu membawa masuk Pati dalam kuantiti ramai namun disebabkan PKP, dia mengubah modus operandinya dengan membawa masuk Pati dalam kuantiti kecil bagi mengelakkan perbuatannya itu dikesan pihak berkuasa," katanya.

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam Op Pintas yang digerakkan Bukit Aman.
SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam Op Pintas yang digerakkan Bukit Aman.

Katanya, pihaknya percaya Maman dan rangkaian sindiket penyeludupan migran itu sudah mengaut ratusan ribu ringgit hasil kegiatan haram berkenaan.

"Dia menjadi nelayan sejak tujuh tahun lalu. Berapa lama dia terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran ini sedang dalam siasatan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Maman yang kononnya keluar ke laut untuk menangkap ikan akan mengambil Pati di perairan antarabangsa daripada ejen dari Batam.

"Ejen di Batam akan membawa migran sehingga ke tengah laut, setibanya di perairan antarabangsa, Maman akan ambil mereka untuk dibawa ke Malaysia," katanya memaklumkan, Pati ataupun migran itu akan dikenakan caj oleh tekong laut dari Batam sekitar harga RM600 tidak termasuk upah dibayar kepada Maman.

Katanya, Pati yang berjaya diseludup akan disimpan Maman di sebuah rumah tidak bertanda sebelum mereka diserahkan kepada pihak ketiga.

"Penerima akan menunggu di lokasi ditetapkan Maman sekitar Sekinchan dan Kuala Selangor untuk mengambil Pati itu," katanya memberitahu, Maman hardcore membawa masuk migran ke negara ini walaupun Malaysia kini sedang dalam fasa PKP.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisionar Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan penahanan ejen atau tekong terbabit bersama sembilan lagi migran atau Pati yang cuba diseludupnya.

Menurut Fadil, hasil soal siasat dijalankan kemudian membawa kepada penahanan 22 lagi warga Indonesia dan Myanmar berusia sekitar 20-an yang tidak memiliki sebarang dokumen sah.

"Semua migran yang ditangkap ini dipercayai baru sahaja masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan laut).

"Antara barang dirampas adalah sebuah bot kategori B, telefon bimbit dan wang tunai RM50 dan 400,000 rupiah (RM115)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 2:00 PM