Noorazura Abdul Rahman


Sik: Seorang wanita yang kehilangan barang kemas selepas terbuang ke dalam tong sampah bernasib baik apabila menemuinya kembali dari sebuah lori sampah.

Menerusi satu video yang tular di laman sosial hari ini, wanita berusia 30-an itu meminta bantuan pekerja syarikat konsesi pembersihan, Environment Idaman (E-Idaman) untuk menurunkan sampah daripada lori berkenaan.

Selepas beberapa ketika, wanita itu dilihat berjaya menemui semula barang berharga itu dalam timbunan plastik yang dikeluarkan daripada lori sampah berkenaan.

Video berdurasi 2 minit 50 saat itu memaparkan wanita berkenaan jelas gembira sebaik menemui barangan itu dan beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada petugas pembersihan yang membantunya.

Menurut seorang pekerja E-Idaman yang enggan dikenali, proses pemunggahan sampah itu berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi di Depoh E-Idaman di sini selepas wanita itu hadir meminta bantuan mereka untuk mencari barang kemasnya yang hilang.

Katanya, dia difahamkan barang kemas yang disimpan di dalam sebuah kotak dibuang secara tidak sengaja oleh keluarga itu semalam.

"Sebaik saja menyedari kejadian itu, keluarga berkenaan dikatakan mencari hingga ke tapak pelupusan sampah di Kulim.

BARANG kemas yang terbuang ditemukan selepas 30 minit mencari. FOTO tular
BARANG kemas yang terbuang ditemukan selepas 30 minit mencari. FOTO tular

"Namun selepas mendapat maklumat sampah yang dikutip semalam masih belum sampai ke Kulim, wanita itu kemudiannya hadir ke Depoh E-Idaman di sini untuk mencari barangan berharga itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, atas budi bicara pekerja syarikat berkenaan, mereka bersetuju membantu mencari barang kemas itu yang mengambil masa kira-kira setengah jam.

"Wanita itu bernasib baik kerana tempat tinggalnya menjadi lokasi terakhir operasi kutipan sampah semalam. Disebabkan itu, tidak banyak sampah yang perlu dipunggah bagi membantunya menemui barang kemas itu yang difahamkan mencecah puluhan ribu ringgit.

"Sepanjang tiga tahun bekerja di sini, inilah kali pertama kami membantu orang ramai mencari kembali barang berharga mereka, saya dan rakan-rakan sekerja faham kerugian yang bakal ditanggung wanita itu sekiranya barang kemas itu hilang.

"Jadi kami bersama-sama cari dan bersyukur kerana ia dapat ditemui semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:22 PM