Omar Ahmad


Johor Bahru: Kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) didalangi sindiket Janggut tumpas dengan penahanan 12 ahlinya dalam operasi khas di tiga lokasi berasingan sekitar Johor Bahru dan Kulai di sini pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket yang diketuai Joni Aripin atau Janggut dan dua orang kanannya iaitu Muhidin atau Muhit dan Gern atau Galang berusia 22 hingga 42 tahun itu aktif menyeludup Pati sejak April lalu.

Katanya, 12 ahli yang ditahan terdiri daripada 10 warga Indonesia iaitu tujuh lelaki dan tiga wanita serta dua warga tempatan berusia 22 hingga 50 tahun.

"Warga tempatan yang bertindak sebagai tali barut menyalurkan maklumat berhubung kegiatan pihak berkuasa dan modus operandi sindiket ini dipercayai mendapat bantuan dan kerjasama daripada ejen atau pengurus yang mengatur pergerakan Pati berkenaan.

"Pati terbabit akan berhubung dengan ejen atau pengurus yang seterusnya mengatur perjalanan menggunakan 'transporter' dari satu kawasan pendaratan sebelum ditempatkan di rumah penampungan sementara.

"Seterusnya Pati terbabit dihantar ke lokasi yang dikehendaki atau ke stesen bas berdekatan untuk ke destinasi yang dituju mereka secara bersendirian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

AYOB Khan menunjukkan Ketua Sindiket Penyeludupan Migran, Sindiket Janggut yang diketuai Joni Aripin atau Janggut. FOTO Omar Ahmad
AYOB Khan menunjukkan Ketua Sindiket Penyeludupan Migran, Sindiket Janggut yang diketuai Joni Aripin atau Janggut. FOTO Omar Ahmad

Menurut Ayob Khan, setiap Pati yang mahu masuk ke negara ini dikenakan bayaran RM1,300 sebelum menaiki bot dari Batam atau Tanjung Pinang, Indonesia.

Katanya, bayaran tidak termasuk kos penghantaran dari pantai ke lokasi penampungan atau lokasi yang hendak dituju Pati terbabit.

"Manakala RM1,500 dikenakan kepada Pati yang mahu keluar dari negara ini ke Batam atau Tanjung Balai.

"Sindiket ini aktif sekitar kawasan Sungai Tengah, Bandar Penawar Kota Tinggi. Pada bulan Jun hingga September lalu dan telah mengatur kira-kira 465 Pati masuk dan 150 Pati keluar membabitkan 15 pendaratan bot di kawasan berkenaan," katanya.

Semua tangkapan ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 3:56 PM