DISEBABKAN kerap bawa watak lasak dan berambut pendek, Fify tidak terlepas diganggu peminat kaum sejenis.
DISEBABKAN kerap bawa watak lasak dan berambut pendek, Fify tidak terlepas diganggu peminat kaum sejenis.
Najiy Jefri


Walaupun sering ditawarkan watak lasak, bakat pelakon jelita yang mula digilap menerusi pertandingan Dewi Remaja 2015/2016 ini tidak pernah mengeluh atau mengadu bosan.

Malah, Fify Azmi sentiasa optimis dan memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton.

Fify berkata, dia mengakui menerima banyak tawaran yang memerlukannya berperwatakan lasak sehingga dua kali terpaksa memotong pendek rambutnya.

"Kali pertama saya terpaksa memotong rambut pendek ketika membintangi filem Wira. Ketika itu saya memegang watak sebagai wanita kasar bernama Zain. Selepas itu, saya diberi kepercayaan membawa watak lasak dalam drama TV3 berjudul Ryan Aralyn.

"Terbaharu, saya bakal membintangi drama bersiri terbitan JS Pictures Sdn Bhd berjudul Ratu Ten Pin untuk siaran Astro tidak lama lagi.

"Walaupun terpaksa mengorbankan rambut, saya anggap ini adalah peluang untuk berjaya dalam industri seni lakonan. Saya sanggup berbuat demikian asalkan peroleh hasil yang terbaik," katanya.

Siapa sangka, gara-gara kerap melakonkan watak lasak dan tampil dengan gaya rambut pendek, Fify tidak terlepas daripada diganggu dengan mesej peribadi daripada golongan yang meminati kaum sejenis.

Fify berkata, ramai yang menganggap dia cenderung terhadap golongan sedemikian berdasarkan gaya dan penampilannya ketika berlakon.

"Ramai individu yang meminati kaum sejenis menghantar mesej peribadi di Instagram saya. Perkara ini berlaku sejak saya membintangi filem Wira sehinggalah beberapa drama yang memerlukan saya berambut pendek.

"Mereka ingat saya seperti mereka, tapi hakikatnya saya menyukai lelaki. Ramai yang beranggapan begitu tapi siapa yang mengenali tahu saya bukan seperti itu," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran

drama bersiri Ratu Tenpin di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Fify, dia menganggap gangguan yang diterima daripada individu yang meminati kaum sejenis sebagai sesuatu yang lucu.

"Saya tak marah atau menghina mereka sebaliknya saya anggap ia satu benda yang lucu. Walaupun mereka cuba mengganggu di mesej peribadi tapi saya tidak layan. Saya harap dengan penjelasan ini mereka sedar yang saya adalah 'straight'," katanya.

FIFY pegang karakter sebagai Reesz dalam Ratu Ten Pin.
FIFY pegang karakter sebagai Reesz dalam Ratu Ten Pin.

Timba ilmu daripada Sheila Rusly dan Jinggo

Kali pertama bekerjasama dengan penerbit Sheila Rusly dan Jinggo, Fify berkata, dia banyak mempelajari teknik lakonan dan penghayatan watak bersama mereka.

Kata Fify, walaupun Sheila dan Jinggo tegas di lokasi penggambaran, ilmu yang dicurahkan begitu berharga.

"Banyak cabaran yang perlu saya lalui dalam drama yang berkisarkan sukan boling ini. Jujur cakap saya bukanlah seorang yang handal bermain permainan ini, tapi ambil inisiatif untuk jalani latihan terlebih dahulu.

"Ketika berada di set penggambaran, Sheila begitu tegas tapi setiap nasihat yang diberikan sememangnya memberi perubahan yang ketara terhadap lakonan saya.

"Tambahan watak pengkid yang dibawakan tidak mudah. Banyak tunjuk ajar yang dicurahkan sepanjang hampir dua bulan penggambaran," katanya.

Menurut Fify, dia turut mengalami kecederaan kecil apabila bahagian pinggangnya terkehel ketika cuba membaling bola boling.

"Sebenarnya sukan ini tak mudah. Saya perlu pastikan balingan yang dibuat mengikut teknik yang betul. Mujurlah saya mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada ratu boling negara, Shalin Zulkifli di lokasi penggambaran.

"Bagaimanapun, baru-baru ini ketika penggambaran babak penting dalam drama ini saya mengalami kecederaan apabila pinggang terkehel menyebabkan saya terpaksa menahan kesakitan seharian.

"Mujurlah tiada kecederaan teruk dialami. Syukur juga Shalin berada di lokasi ketika itu kerana dia cuba tenangkan saya dan beritahu apa yang perlu saya buat," katanya.

Selain Fify, drama Ratu Ten Pin turut menampilkan antaranya Elisya Sandha, bekas pemain boling kebangsaan Syaidatul Afifah; Nazim Othman, Wani Kayrie, Lisdawati, Datuk Seri Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Dazrin Kamarudin, Akhmal Nazri dan Haziq Hero Remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:00 AM