LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Dr Fatihah sudah mula sedar hari ini dan mula memberikan respons (reaksi).

"Bayi juga stabil. Ada nampak peningkatan dalam keadaan semasa," kata Ahmad Nazri Jantan, 39.

Ahmad Nazri adalah suami kepada seorang pegawai perubatan Dr Fatihah Shahrudin, 29, yang positif Covid-19 dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh selepas selamat melahirkan anak ketiga, bayi perempuan malam kelmarin.

Dia berkata, bukanlah mudah baginya lima beranak untuk menghadapi ujian berat tanpa sokongan keluarga, rakan dan seluruh rakyat Malaysia.

"Doktor yang merawatnya memaklumkan bahawa isteri saya semakin stabil dan sudah sedar dari koma namun masih perlu pemantau di ICU.

"Bantuan alat pernafasan masih diperlukannya, namun dos oksigen dan sedatif sudah mula dikurangkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Hospital Sungai Buloh kelmarin bertindak melahirkan bayi dalam kandungan Dr Fatihah lebih awal dalam usianya kira-kira tujuh bulan bagi mengelak sebarang komplikasi lebih buruk terutama selepas Dr Fatihah disahkan Covid-19.

Ahmad Nazri meminta semua pihak terus mendoakan keselamatan isterinya, dia dan anak lelaki berusia tiga tahun serta anak perempuan berusia dua tahun.

Dia dan dua anak bakal tamat kuarantin pada 11 Jun ini selepas mereka dikesan positif Covid-19 pada 1 Jun lalu.

"Sedikit sebanyak semua pihak dapat membantu dalam mendoakan isteri saya supaya mendapat kesembuhan dan memberi sokongan moral kepada kami sekeluarga," katanya.

Bapa dan ibu mentua serta adik Dr Fatihah juga dikuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19.

Kisah Dr Fatihah menarik perhatian netizen di media sosial yang tidak putus-putus berkongsi ciapan di Twitter serta perkongsian di Facebook, mendoakan supaya kedua-duanya selamat daripada Covid-19.

Dr Fatihah yang juga kakitangan di Hospital Kajang mula dimasukkan ke hospital berkenaan pada 31 Mei lalu selepas dimaklum dijangkiti kuman pada paru-parunya, sebelum disahkan positif Covid-19 sehari selepas itu, hasil saringan bergejala di hospital berkenaan.

Pada Khamis lalu, dia dipindahkan ke ICU di Hospital Kajang sebelum dihantar ke ICU Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lebih rapi, selain selamat melahirkan anaknya pada malam kelmarin.

Berita berkaitan

  • Doa buat Dr Tehah
  • Bayi Dr Fatihah selamat dilahirkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 4:55 PM