MOHD Zaid menunjukkan foto anak sulungnya, Nur Rania Adelia yang meninggal dunia dalam kebakaran di unit kondominiumnya di Jalan Dr Wu Lien Teh. FOTO Zuhainy Zulkiffli
MOHD Zaid menunjukkan foto anak sulungnya, Nur Rania Adelia yang meninggal dunia dalam kebakaran di unit kondominiumnya di Jalan Dr Wu Lien Teh. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Ketika tiba di rumah, keadaan agak gelap kerana asap sudah berkepul dan saya hanya menemukan anak kedua sedang menangis di ruang tamu," begitu kata Mohd Zaid Husmin, 34, mengenai kejadian kebakaran di unit kondominiumnya di Jalan Dr Wu Lien Teh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, anak sulungnya Nur Rania Adelia, 6, meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap.

Mohd Zaid berkata, sebelum kejadian, dia bersama isterinya Tuti Harnida Harun, 34, dan anak bongsunya berusia setahun keluar ke pasar bagi membeli barangan keperluan.

Menurutnya, arwah bersama anak keduanya, Muhammad Ariq Zakwan, 4, yang sedang tidur ditinggalkan di rumah.

"Berikutan mereka nyenyak tidur, saya ambil keputusan untuk tinggalkan mereka sebentar, tambahan pula pasar terletak tidak jauh dari rumah iaitu kurang lima minit perjalanan.

"Saya turut mengaktifkan aplikasi Zoom bagi memantau secara langsung keadaan anak di rumah," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini.

Mohd Zaid berkata, kira-kira 10 minit ketika berada di pasar, dia terdengar anak keduanya menangis menerusi aplikasi itu selain melihat kepulan asap memenuhi ruang tamu rumah lalu mereka bergegas pulang.

Katanya, sebaik tiba di rumah, anak keduanya ditemukan di ruang tamu sedang menangis, namun dia tidak dapat mengesan Nur Rania Adelia.

"Saya selamatkan Muhammad Ariq Zakwan dahulu sebelum masuk semula ke dalam rumah dan keadaan asap tebal menyebabkan saya sukar mengesan kedudukan Nur Rania Adelia.

"Hanya selepas saya membuka tingkap bagi ruang pengudaraan, Nur Rania Adelia dilihat terbaring di atas tilam di bilik utama dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba memberi rawatan dan bantuan pernafasan sebelum anak sulungnua dibawa ke HPP bagi rawatan lanjut.

Katanya, dia reda kejadian yang menimpa keluarganya dan berharap orang ramai tidak menyalahkan sesiapa.

"Tiada ibu bapa yang mahu tinggalkan anak di rumah dalam keadaan begitu, malah saya juga mengambil inisiatif mengaktifkan aplikasi Zoom bagi memantau mereka secara langsung.

"Terngiang-ngiang suara Nur Rania Adelia mahu makan durian, malah dia kelihatan gembira dan ceria selepas saya bawa pulang buah itu, semalam," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan mangsa meninggal dunia selepas dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala adik lelakinya terselamat dalam kejadian itu.

Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 9.05 pagi.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kanak-kanak meninggal dunia

Nampak kepulan asap melalui panggilan video

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 3:52 PM