MUHAMMAD Haris dan Neelofa turun ke arah kereta selepas selepas selesai perbicaraan dan bayaran wang jaminan. FOTO Mohd Amin Jalil
MUHAMMAD Haris dan Neelofa turun ke arah kereta selepas selepas selesai perbicaraan dan bayaran wang jaminan. FOTO Mohd Amin Jalil

Kuala Lumpur: Pelakon dan pendakwah muda, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz dilihat hanya memberikan salam kepada petugas media sebelum berlalu menaiki kereta jenis BMW bersama isterinya yang juga selebriti popular Neelofa.

"Assalamualaikum," kata PU Riz sambil melambai kepada petugas media yang hadir.

Mengenakan persalinan warna sedondon, pasangan itu hadir ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan hari ini bagi berdepan pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pasangan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan dan mahkamah membenarkan PU Riz diikat jamin RM10,000 untuk dua kesalahan, manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mereka didakwa atas pertuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kedai Naeem Carpet di No 219, Jalan 3/6, Kawasan Perindustrian Nilai 3, di sini, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Sementara itu, Muhammad Haris juga didakwa tidak memakai pelitup muka di tempat awam iaitu di premis kedai sama dan pada tarikh serta waktu yang sama.

Mahkamah juga menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala pasangan itu diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi mereka bagi mendapatkan reaksi masing-masing tidak berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 1:42 PM