TANGKAP layar perbualan dipercayai Neelofa bersama  dikatakan 'bos Naeem Carpet. FOTO tangkap layar video tular di media sosial
TANGKAP layar perbualan dipercayai Neelofa bersama dikatakan 'bos Naeem Carpet. FOTO tangkap layar video tular di media sosial
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Pengacara dan usahawan wanita kontroversi, Noor Neelofa Mohd Noor sekali lagi mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila didakwa memuat naik video menunjukkan seolah-olah berada di sebuah kedai karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Video yang berdurasi 15 saat dipercayai dirakamkan oleh Neelofa itu merakamkan seorang lelaki dikatakan 'bos Naeem Carpet' sambil seperti mempromosikan kedai berkenaan:

Suara dipercayai Neelofa: Bos yang cukup baik ni...

Lelaki pekedai: Terima kasih banyak

Suara dipercayai Neelofa: Datang dekat aaa

Lelaki pekedai: Naeem Carpet

Suara dipercayai Neelofa: Di mana?

Lelaki pekedai: Di Nilai 3, Johor, di Jalan Setapak, Brunei... Alhamdulillah

Beberapa pengguna laman sosial Twitter mendakwa melihat Neelofa dan suaminya Haris Ismail atau PU Riz berada di Nilai, Negeri Sembilan.

Namun hasil carian mendapati video itu sudah dipadamkan selebriti itu di Instastory akaun Instagram miliknya.

Begitu pun, ia masih trending hingga menjadi perdebatan hangat pengguna media sosial yang mempertikaikan 'kebolehan' selebriti berusia 32 tahun itu merentas negeri.

Sebelum ini Neelofa pernah memohon maaf secara terbuka dan mengakui tidak sensitif isu semasa khususnya berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) majlis perkahwinannya serta kunjungannya ke Langkawi, Kedah bersama suami PU Riz, 26.

Neelofa, suami dan keluarga kemudian dikenakan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang keseluruhannya berjumlah RM60,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter ketika majlis akad nikah mereka berlangsung.

Dalam kenyataan media 27 April lalu itu, Mohamad Zainal turut dilaporkan berkata, pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa mengikut subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 1:35 AM