ASHARI memeriksa kedai emas di sebuah pasar raya di Jalan Gombak, yang disamun tiga lelaki hari ini. FOTO Ihsan Polis
ASHARI memeriksa kedai emas di sebuah pasar raya di Jalan Gombak, yang disamun tiga lelaki hari ini. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tiga lelaki bersenjata parang, tukul besi dan kapak hanya mengambil masa tidak lebih satu minit melarikan barangan kemas selepas memecah cermin pameran premis kedai itu yang berada di sebuah pasar raya di Jalan Gombak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, suspek memakai jaket dengan bertopi keledar dan memakai pelitup muka memecah masuk premis terbabit sebelum menyamun barangan kemas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 5.15 petang daripada orang awam memaklumkan kejadian samun kedai emas.

Menurutnya, sebaik tiba siasatan dijalankan dengan dibantu pihak forensik di mana hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek bersenjatakan parang, tukul besi dan kapak melakukan kejadian samun itu.

"Dua orang masuk ke dalam sementara lelaki bersenjatakan parang menunggu di luar premis.

"Mereka memecahkan cermin pameran kedai emas terbabit dan melarikan barangan itu tidak lebih daripada satu minit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Ashari berkata, jumlah anggaran kerugian barangan kemas yang dibawa lari masih dalam siasatan.

"Kita syak mereka melarikan diri dengan motosikal dan ini kali pertama premis ini dipecah masuk.

"Siasatan lanjut dijalankan dan akan menyemak CCTV di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 9:16 PM