SHAHRULEZAD. FOTO Arkib NSTP
SHAHRULEZAD. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah drama bersiri Takdir Yang Tertulis, Shahrulezad Mohameddin mengakui babak mengejar peragut dalam episod tujuh drama itu yang menjadi mangsa kecaman netizen ketika ditayangkan malam tadi adalah kesilapannya sendiri.

Babak itu memaparkan watak Ean lakonan Alvin Chong mengejar peragut yang meragut beg Juweta (Nad Zainal) tanpa menggunakan kereta sedangkan dia ketika itu berada dalam kereta.

Shahrulezad berkata, kesilapan itu hanya disedari penyunting ketika proses suntingan dijalankan.

"Sebenarnya, itu silap saya. Nak dijadikan cerita, tak ada seorang pun perasan kesilapan itu. Baik pelakon mahupun kru.

"Ketika itu masing-masing fokus kepada adegan Ean mengejar peragut, tetapi gagal sebelum dia mendapatkan Juweta yang terduduk di bahu jalan.

"Disebabkan terlalu fokus dengan adegan itu, semua boleh terlepas pandang mengenai logik iaitu Ean sebenarnya boleh mengejar peragut bermotosikal itu menggunakan kereta," katanya.

Shahrulezad berkata, kesilapan itu juga berlaku kerana dia terlalu penat dan mengantuk memandangkan penggambaran dilakukan pada tengah malam.

Menurutnya, ketika penyunting menyedari kesilapan itu dan bertanya kenapa Ean tak mengejar peragut dengan kereta, dia terus terkedu.

"Saya pandang dia, dia pandang saya. Selepas itu, kami tepuk dahi dan tergelak semasa proses suntingan.

"Jadi, disebabkan penggambaran itu sudah lama dijalankan, kami ambil keputusan abaikannya dengan harapan penonton tak perasan sangat," katanya.

Bagaimanapun, harapannya tidak kesampaian kerana netizen lebih pantas mencari kesilapan.

"Benda inilah yang menjadi modal netizen 'membahan' drama saya. Bagi mereka yang sentiasa mencari salah drama Melayu, jadi lauk merekalah untuk hentam drama Melayu 'kaw-kaw'," katanya.

Bagaimanapun, Shahrulezad tidak marah dengan kecaman itu dan melihat apa yang berlaku sebagai bukti bahawa setiap drama ada kekurangannya.

"Tak mengapa, ini juga menunjukkan drama Takdir Yang Tertulis tidaklah hebat mana pun. Ia tetap penuh dengan kecacatan sama seperti sebahagian drama lain termasuk drama Korea yang kita megah-megahkan sangat itu. Apa pun, saya mohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan yang tak sepatutnya berlaku," katanya.

Selain Nad Zainal dan Alvin Chong, turut berlakon dalam drama itu ialah Nazim Othman, Elvina Mohamad dan Didie Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 3:53 PM