TIADA lagi talian hayat diberikan FAM kepada Felda United dan UKM FC.
TIADA lagi talian hayat diberikan FAM kepada Felda United dan UKM FC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua pasukan Liga Malaysia (Liga M), UKM FC dan Felda United sudah boleh melupakan hasrat untuk terus bersaing di Liga Perdana musim depan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkeras enggan memberi talian hayat kedua kepada pasukan terbabit.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, rayuan kedua-dua pasukan ditolak dan badan induk itu akan mengadakan pertemuan bagi menjelaskan keputusan berkenaan.

"Saya memang akan berjumpa UKM FC dan Felda United dalam masa terdekat, tetapi perjumpaan bukan perbincangan rayuan.

"Tetapi itu (perjumpaan) adalah atas tugas saya untuk memastikan pihak berkenaan faham akan asas dan fakta keputusan itu dan saya akan bincangkan itu secara dalaman bersama kedua-duanya.

"Memang keputusan yang dikeluarkan pada masa ini adalah keputusan muktamad dan tiada isu rayuan, disebabkan FAM mengambil keputusan berdasarkan dokumentasi yang sudah diserahkan pada tarikh akhir penyerahan dokumen.

"Malah, pada tarikh akhir itu, tiada pasukan yang meminta lanjutan masa untuk menyerahkan dokumentasi tambahan kalau diperlukan.

"Jadi di situ keputusan dibuat mengikut dokumentasi yang sudah diserahkan daripada pasukan sendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Untuk rekod, tarikh akhir penyerahan dokumen berkaitan penswastaan adalah pada 30 September lalu.

STUART RAMALINGAM
STUART RAMALINGAM

Sebelum ini, Felda United dan UKM FC mengemukakan rayuan kepada FAM berhubung kegagalan permohonan mereka dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Badan induk berkenaan mengumumkan kedua-dua pasukan itu gagal dalam proses penswastaan FC bersyarikat, sekali gus tidak boleh menyertai saingan Liga M pada musim depan.

Keputusan itu diambil selepas penelitian terhadap dua pasukan itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh di mana keuntungan tahunan kedua-dua pelabur tidak mencecah RM1 juta.

Bagaimanapun, menerusi laporan akhbar ini semalam, wakil UKM FC dilaporkan sudah menemui pelabur baharu yang sanggup melabur RM3.5 juta buat pasukan berstatus universiti itu.

Ditanya adakah kemungkinan FAM boleh mempertimbangkan semula keputusan itu selepas adanya pelabur baharu, Stuart menegaskan, buat masa ini tiada.

"Disebabkan keputusan dibuat (keputusan FAM) dan tiba-tiba ada info lain (pasukan ada masalah), patut maklumkan sebelum tarikh akhir tempoh hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 6:40 AM