SHAHRUL Aizad (tengah) terpaksa mencari pasukan baharu dan tidak kisah untuk bermain sama ada dalam saingan Liga Super atau Liga Perdana. FOTO Ihsan FELDA United
SHAHRUL Aizad (tengah) terpaksa mencari pasukan baharu dan tidak kisah untuk bermain sama ada dalam saingan Liga Super atau Liga Perdana. FOTO Ihsan FELDA United
Asrol Awang


Kuantan: Pemain tengah, Shahrul Aizad Zulkifli atau Cotang mengakui terkejut apabila FELDA United FC tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain berasal dari Felda Bukit Goh, Kuantan itu berkata, ketiadaan The Fighters memerlukannya mencari pasukan baharu untuk meneruskan kerjaya dalam sukan bola sepak.

"Saya akui terkejut apabila The Fighters tidak beraksi dalam saingan Liga M musim 2021. Bersama kelab ini musim ini amat menggembirakan kerana daripada segi kebajikan pemain diberi keutamaan.

"Kini saya terpaksa mencari pasukan baharu dan tidak kisah untuk bermain sama ada dalam saingan Liga Super atau Liga Perdana.

"Setakat ini saya sudah bertanyakan beberapa pasukan yang ingin mendapatkan pemain tetapi tiada sebarang keputusan," kata pemain berumur 27 tahun itu.

Shahrul Aizad yang juga bekas pemain Terengganu FC (TFC) dan Kuantan FA itu mengharapkan khidmatnya dapat ditagih pasukan bagi menghadapi saingan Liga M musim 2021.

Pada 31 Oktober lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan FELDA United dan UKM FC gagal dalam proses penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Ia selepas penelitian dilakukan FAM terhadap dua pasukan itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Keputusan itu sekali gus menyebabkan FELDA United dan UKM FC tidak layak untuk menyertai liga anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi musim 2021, sama ada di Liga Super atau Liga Perdana.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya membuat keputusan itu bagi mengelak permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021 sekiranya pasukan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 7:56 PM