- Foto hiasan
- Foto hiasan
Agensi

Geneva: Vaksin Covid-19 yang masih di peringkat ujian klinikal dijangka diberikan kepada negara miskin terlebih dahulu pada 2021.

Gavi, pakatan vaksin yang juga kerjasama kesihatan global awam dan swasta untuk meningkatkan akses imunisasi di negara miskin mengumumkan bahawa sehingga 100 juta dos vaksin Covid-19 akan dihasilkan dan diedarkan ke negara miskin tahun depan.

"Vaksin ini diletakkan pada harga maksimum AS$3 (RM13) satu dos akan dihasilkan di Institut Serum India (SII)," katanya.

Kerjasama antara Gavi dan Yayasan Bill & Melinda Gates itu juga turut membabitkan pengedaran vaksin untuk 92 negara termasuk dalam kalangan negara berpendapatan sederhana.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Gavi, kerjasama itu akan memberikan modal awal kepada SII untuk membantu mereka meningkatkan kemampuan pembuatan sehingga vaksin yang dihasilkan mendapat persetujuan peraturan dan prakelayakan ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selepas melepasi semua peraturan, dos akan dihasilkan pada skala besar-besaran untuk diedarkan seawal separuh pertama 2021.

Setakat ini, terdapat dua calon vaksin iaitu dari AstraZeneca dan Novavax.

Jika vaksin dihasilkan AstraZeneca berjaya, ia akan diedarkan ke 57 negara di bawah program Gavi.

Jika vaksin dihasilkan Novavax berhasil, ia akan dimanfaatkan 92 negara di bawah Komitmen Pasaran Termaju (AMC) Gavi.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS), Brazil dan India menjadi tiga negara yang mencatatkan angka melepasi dua juta bagi kes jangkitan Covid-19.

Jumaat lalu, India mencatatkan angka jangkitan harian tertinggi iaitu lebih 60,000 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara berkenaan kini 2.09 juta.

Angka kematian pula dicatatkan sebanyak 41,500.

Perkembangan yang berlaku di India disifatkan membimbangkan kerana ia meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 6:31 AM