LELAKI warga emas berkerusi roda tinggal bergelandangan di dalam kereta selepas dihalau dari rumah sewa majikan sebelum diselamatkan LZS di Petaling Jaya, malam tadi. FOTO ihsan LZS.
LELAKI warga emas berkerusi roda tinggal bergelandangan di dalam kereta selepas dihalau dari rumah sewa majikan sebelum diselamatkan LZS di Petaling Jaya, malam tadi. FOTO ihsan LZS.
Muhaamad Hafis Nawawi


BAGAIKAN sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib malang menimpa seorang lelaki warga emas berkerusi roda apabila bukan sahaja tinggal bergelandangan di dalam kereta, malah kehilangan kerja akibat kemalangan, baru-baru ini.

Lelaki berusia 67 tahun itu terpaksa keluar dari rumah sewa majikannya sebelum tinggal di dalam kereta di stesen minyak di kawasan Petaling Jaya.

Selain itu, anak perempuannya berusia 15 tahun menumpang sementara di rumah rakan kerana bimbang dengan keselamatan remaja itu jika turut bergelandangan.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, Skuad Saidina Umar (SSU) LZS yang menerima maklumat mengenai lelaki warga emas yang bergelandangan dalam kereta selepas dihalau dari rumah sewanya, membuat pemeriksaan malam tadi.

Menurutnya, warga emas berkerusi roda itu didapati tinggal bergelandangan dalam kereta selepas dihalau dari rumah sewa dan diberhentikan kerja selepas beberapa siri kemalangan, baru-baru ini yang menyebabkan patah tulang peha dan pecah usus.

"Lelaki itu bekerja sebagai pemandu lori dan terbabit kemalangan ketika sedang bekerja, dia sudah menjalani pembedahan dan dalam proses pemulihan.

"Kami dilaporkan, dia tinggal bersama anak perempuannya di rumah sewa itu manakala isterinya meninggal dunia beberapa tahun lalu akibat komplikasi diabetes.

"Bagaimanapun, majikan memberhentikan kerja dan tidak membenarkan tinggal di rumah sewa majikan itu lagi menyebabkan anaknya menumpang teduh di rumah rakan buat sementara waktu," katanya.

Norajun Ainun berkata, LZS sudah menempatkan sementara warga emas itu di pusat jagaan mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) Normal Baru, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya sudah mencari rumah sewa buat dua anak beranak itu tinggal dan akan ditanggung sehingga Disember ini.

"Buat masa ini kita menyediakan bantuan sewa rumah sementara bantuan lain bergantung kepada keperluan dan syarat kelayakan.

"Selepas Disember ini, jika dia masih dalam golongan asnaf dan memerlukan, kami akan terus membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 9:03 PM