Pegawai LZS bertemu dengan Ahmad Nuraddin untuk menyalurkan bantuan. FOTO Ihsan LZS
Pegawai LZS bertemu dengan Ahmad Nuraddin untuk menyalurkan bantuan. FOTO Ihsan LZS
Siraj Mohd Zaini


KEPERITAN hidup bekas pemandu e-hailing yang hilang punca pendapatan selepas buah pinggangnya bengkak dan bernanah kerana menghidap batu karang sejak Ogos lalu mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pihaknya menyalurkan bantuan awal kepada Ahmad Nuraddin Mohd Yusoff, 39, berjumlah RM500 serta bantuan lain secara bulanan termasuk sewa rumah.

Menurutnya, Ahmad Nuraddin yang berstatus duda dan tinggal di Rawang itu mengalami kesukaran dalam kehidupan sehariannya disebabkan penyakit dihidapinya.

“LZS prihatin terhadap kesulitan dihadapi Ahmad Nuraddin dan bersedia menyalurkan bantuan ini supaya kehidupannya dapat diteruskan dengan baik.

“Semoga dengan bantuan zakat ini dapat meringankan beban yang ditanggungnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Nuraddin memuat naik kisahnya di Facebook (FB) bagi meminta sumbangan orang ramai.

Keadaan kesihatan dirinya dilaporkan semakin menurun disebabkan jangkitan kuman merebak ke bahagian mata dengan kanta mata kanannya terpaksa dibuang serta penglihatan sebelah kirinya turut kabur.

Dia yang berpisah dengan isteri ketika menetap di Ipoh pada 2015 terpaksa tinggal di rumah flat di Bukit Sentosa.

Dia yang menampung hidup dengan sebagai pemandu e-hailing sebelum ini sudah tidak boleh melakukan pekerjaan itu sejak tahun lalu disebabkan penyakitnya semakin teruk.

Dia juga terpaksa tinggal dalam sebuah bilik kecil di bangunan kedai dua tingkat di bandar Rawang sejak sebulan lalu disebabkan tidak mampu membayar sewa kediamannya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 7:17 PM