DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Shamran Sarahan dan Yusmizal Dolah Aling dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan kluster baharu yang dikesan di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster ini membabitkan kes kematian Covid-19 yang dilaporkan semalam iaitu kes ke-8,770 yang mana ujian saringan didapati positif wabak itu.

Susulan itu, beliau berkata, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) dijalankan.

"Sehingga 20 Julai (hari ini) 12 tengah hari, 39 orang disaring, iaitu terdiri daripada 14 kes positif Covid-19, 18 adalah negatif dan tujuh masih menunggu keputusan.

"Daripada jumlah kes positif ini, 13 kes adalah warga Malaysia dan satu warga Indonesia. Kes positif kluster ini membabitkan 11 warga emas (iaitu penghuni rumah jagaan berkenaan), satu pekerja dan satu ahli keluarga," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, langkah pembendungan dan kawalan jangkitan dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan terbabit.

"Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan," katanya.


Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes positif Covid-19 dan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tidak termasuk yang diumumkan KKM sebentar tadi.

Beliau dipetik sebagai berkata, walaupun kes di negara ini kekal rendah tetapi masyarakat tidak boleh leka sekiranya tidak mahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

"Saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP. Contohnya Kluster Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai lalu dan Kluster Stutong yang bermula sejak 18 Julai.

"Selain itu, terdapat empat kluster baharu yang dikesan berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara iaitu Kluster di Sarawak sebanyak tiga kes, Kluster di Melaka lima kes, Kluster di Terengganu tiga kes dan Kluster di Kuala Lumpur dua kes.

"Lebih membimbangkan saya, kes positif Covid-19 kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari lalu," katanya dalam perutusan khas perkembangan terkini PKPP yang disiarkan secara langsung hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 5:24 PM