GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Makassar: Seorang doktor di Indonesia layak diangkat sebagai wira apabila menjadi satu-satunya petugas barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19 tanpa menerima insentif.

Bukan itu saja, Dr Sugih Wibowo, 37, melakukan pengorbanan besar apabila sanggup berjauhan dengan anak dan isterinya demi melaksanakan tanggungjawabnya merawat pesakit di situ sejak 25 Mei lalu.

Dia merawat pesakit dalam program duta pelancong Covid-19 kerajaan wilayah Sulawesi Selatan di Hotel Harper, Makkassar.

Dr Sugih berkata, walaupun kekangan tenaga kerja namun dia tetap menjalankan amanah diberi dengan penuh dedikasi untuk merawat pesakit hingga sembuh.

"Hanya saya seorang doktor dibantu tiga jururawat untuk menguruskan 190 pesakit, namun ia tidak mematahkan semangat kami.

"Selama 24 jam saya dalam keadaan bersiap sedia, malah kami membuat sistem kerja giliran dan saling bantu membantu.

"Ada pesakit mengalami tekanan hingga keguguran, malah ada yang mahu membunuh diri.

"Semua itu, saya perlu tangani dengan waras dan berhemah selain tugas merawat," katanya seperti dipetik portal Kompas.com.

Di sebalik kesibukan tugasnya, dia juga tidak menafikan merindui keluarganya terutama anaknya yang berusia tiga bulan.

"Sehingga kini, saya menerima tiga kali surat lanjutan tempoh bertugas," katanya.

"Apabila terlalu rindukan isteri dan anak yang masih kecil, air mata saya pasti menitis.

"Saya bertambah kecewa apabila insentif dijanjikan kerajaan, tidak diperoleh sampai sekarang sedangkan anak dan isteri saya memerlukan wang belanja untuk keperluan harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 6:30 AM