FAUZI Nawawi. FOTO NSTP
FAUZI Nawawi. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


"SAYA akan buat laporan polis hari ini," kata pelakon popular, Fauzi Nawawi mengenai video bogel seorang lelaki miripnya dengan aksi melakukan onani yang tular sejak semalam.

Fauzi yang akan membuat laporan polis di Balai Polis Batu 9, Hulu Langat berkata, tindakan pihak tidak bermoral itu dianggap sengaja mahu menjatuhkan kerjaya dan meruntuhkan rumah tangga yang dibina dengan pelakon, Lisdawati.

"Saya sebenarnya sudah banyak kali terkena. Dari zaman bujang, berkahwin, sebelum ada anak sehinggalah nak masuk umur 50 tahun ini, masih ada lagi perkara sebegini.

"Cuma, ini paling teruk. Saya dapat tahu pun selepas dimaklumkan pengikut di Instagram. Mereka yang hantar video itu. Apabila saya tengok di Twitter terdapat beberapa versi.

"Memang serabut juga nak jawab benda ini. Saya fikir, ada agenda di sebalik itu dan kenapa sebarkan? Tak lain tak bukan nak jahanamkan kerjaya dan runtuhkan rumah tangga saya. Tidak faham kenapa masih ada sikap sebegini. Jadi, saya ambil pendekatan kalau dilayan, dia berjaya jatuhkan saya," katanya kepada Harian Metro.

Fauzi berkata, penyebaran video itu sedikit sebanyak mengganggu kerjaya seni selain mengaibkan diri dan keluarganya.

Pelakon filem Munafik itu juga menyifatkan teknologi masa kini memungkinkan semua berlaku dengan niat sengaja memburukkan seseorang.

"Itu memang niat dia mahu tular dan jatuhkan orang lain. Ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanan karier saya. Bukan saja memalukan tapi juga menjatuhkan maruah saya. Saya sebagai mangsa yang yang teraniaya kena kuat dan saya berserah pada Allah. Fikirlah, apa faedah yang dia dapat?

"Memang rasa geram dan marah tapi tidak mahu layan sangat. Lagi satu, saya tak hairan sebab teknologi sekarang sudah melampaui akal fikiran. Apa saja boleh dibuat dan terjadi," katanya.

Bukan saja peminat di sini, Fauzi turut mendapat mesej sama daripada peminat di Indonesia.

"Sampai peminat di Indonesia pun dapat. Maksudnya benda ini sudah sampai ke sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 11:36 AM